Berita

Potong peruntukan JPM bukan kurangkan caruman KWSP

KLANG, 28 JAN: Kerajaan Persekutuan disaran melakukan penjimatan dengan pemotongan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri yang mendapat peruntukan RM20.3 bilion tahun, bukannya mengurangkan caruman tiga peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Demikian kata Ahli Parlimen Charles Santiago yang menganggap tindakan kerajaan mengurangkan caruman pekerja dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 hanya memberi kesan negatif terhadap simpanan persaraan pekerja.

“Kerajaan mahu tingkatkan permintaan domestik pasaran dengan memperguna sumber pendapatan pekerja sedangkan kita tahu wang KWSP untuk waktu persaraan. Mereka gunakan wang rakyat untuk suntik semula sumber kewangan mereka.

“Untuk masa pendek ia kelihatan bagus sebab pekerja ada lebihan tunai tapi untuk jangka panjang ia hanya akan membebankan semula pekerja,” katanya kepada Roketkini.

Selain penjimatan melalui pemotongan peruntukan JPM, beliau berkata kerajaan perlu mempelbagai sumber ekonomi negara untuk mengurangkan kebergantungan besar terhadap petroleum.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan antara strategi Pengubahsuaian Bajet 2016 ialah mengurangkan caruman wajib KWSP sebanyak 3 peratus dari Mac 2014 hingga Disember 2017 manakala sumbangan majikan kekal.

Perdana Menteri itu memberi alasan kejatuhan harga minyak mentah dunia sebagai punca kerajaan perlu mengadakan Pengubahsuaian Bajet 2016 itu. -Roketkini.com