Berita

Mengapa 80 peratus pegawai sempadan terlibat rasuah dibiar bebas?

 

BATU KAWAN 15 FEB: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa mengambil tindakan terhadap 80 peratus kakitangan keselamatan sempadan yang disyaki terlibat dalam gejala rasuah berdasarkan pendedahan laporan Cawangan Khas tahun lalu.

Sehingga kini, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Kasthuri Patto, berkata tiada tindakan serius terhadap pegawai yang ‘menjual’ keselamatan dan kedaulatan negara itu.

“Saya kecewa lapan pegawai yang ditahan dalam Kem Kamunting itu dibatal penahanan selepas beberapa bulan di sana. Kita mahu tahu, apa sebab sebenar mereka dilepaskan? Adakah sebab kurang bukti untuk mendakwa mereka?  Siapa pula yang bersalah?

“Ini bukan sahaja hanya hal berkaitan perlindungan sempadan sahaja tetapi yang lebih serius ialah perkhianatan terhadap undang-undang oleh mereka yang sepatutnya memelihara keselamatan negara kita,” katanya.

Laporan risikan Cawangan Khas selama 10 tahun yang didedahkan akhbar New Straits Times itu menyatakan 80 peratus pegawai penguatkuasa sempadan menerima rasuah dari sindiket dadah, senjata dan penyeludupan manusia.

Pada kenyataan media hari ini, Kasthuri berkata, cadangan kerajaan menggantikan pegawai sempadan dengan tentera juga tidak akan memulihkan keyakinan awam apabila pegawai yang disyaki rasuah terlibat, bebas.

“Lapan dari 10 pegawai penguatkuasa sempadan, disyaki rasuah. Berapa ramai yang didakwa? Adakah semakan dilakukan terhadap pegawai yang hidup mewah? Mengapa tiada agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan?” katanya.

Beliau berharap Zahid bukan hanya bermain kata-kata apabila membuat kenyataan mahu membanteras rasuah dalam sukan bolasepak tetapi membiarkan gejala rasuah membabitkan keselamatan negara dibiar.

“Bagaimana beliau mahu banteras rasuah dalam bola sepak sedangkan tidak mahu berterus terang dan bertegas terhadap pegawai rasuah seperti yang ditahan Cawangan Khas di KLIA dalam sindiket pemerdagangan manusia pada 2011?” kata Kasthuri.

Zahid sebelum ini dilapor berikrar membanteras rasuah dalam bola sepak dan mahu memastikan ppolis mengambil tindakan jika wujud bukti rasuah dalam kalangan pemain, jurulatih ataupun pegawai lain. –Roketkini.com