Rencana

Pekerja Bangladesh: Risiko banyak, di manakah kewajarannya?

SEKITAR 30 minit lalu, saya selesai membaca kenyataan penuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan “Cadangan Memorandum Persefahaman Antara Malaysia Dengan Bangladesh Mengenai Penggajian Pekerja Bangladesh Melalui Mekanisme Kerajaan Plus (MOU G-to-G)”.

Amat mengejutkan setelah membaca kenyataan rasmi itu. Kami semak semula dan baca baik-baik kenyataan media itu. Di akhirnya, kami sebagai rakyat menemui kewajaran untuk tidak bersetuju dengan polisi pekerja asing yang “sangat cerdik” ini.

Amat sukar untuk akal kami menerima membuta tuli bahawa faktor permintaan dan penawaran industri adalah sebab utama 1.5 juta pekerja asing Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini.

Dalam kajian Cervantes-Godoy, D and J. Dewbre (2010), Economic Importance of Agriculture for Poverty Reduction, sektor perladangan penyumbang utama kepada penurunan kadar kemiskinan rakyat luar bandar sejak 1984 hingga 2000-an. Ia melibatkan 52 peratus sumbangan sektor itu dalam menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat ladang di negara ini.

Mengapakah kerajaan cuba membuka peluang pekerjaan kepada pekerja asing khususnya dari Bangladesh yang akan memonopoli pasaran buruh bagi peladangan kelapa sawit di negara ini? Bagaimana nasib kelompok miskin sedia ada untuk melalui fasa peningkatan pendapatan sedangkan bayaran upah murah dipenuhi sumber tenaga asing?

Bukankah ia bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk menyelesaikan isu kemiskinan? Atau, usaha pembasmian kemiskinan sekadar retorik sehingga hak rakyat tempatan dalam sektor perladangan terus dinafi?

Di Sabah, Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Pahang, antara negeri yang ramai rakyat tempatan membina asas ekonomi dengan bergantung penuh kepada sektor peladangan, kira-kira 1.5 juta rakyat tempatan luar bandar mampu memenuhi semua peringkat tenaga sumber yang diperlukan. Jadi, mengapa mesti dipenuhi warga Bangladesh?

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mensasarkan peningkatan jumlah pekerja ladang rakyat tempatan di ladang miliknya sehingga 40 peratus menjelang 2020. Namun, pertambahan 1.5 juta pekerja Bangladesh bertentangan dengan perkara itu.

Ia melebarkan lagi perbezaan jumlah pekerja tempatan dalam sektor perladangan kerana kebergantungan besar kepada pekerja asing. Pada 2009, wakil institusi Lembaga Kemajuan tanah Persekutuan Felda menyatakan sebahagian besar pekerja ladang Felda adalah warga asing dan hanya 18 peratus rakyat tempatan.

Di manakah kewajaran dasar mesra pekerja asing dapat membantu menaikkan pendapatan rakyat ke tahap 40 peratus belum tercapai sumber tenaga tempatan sekaligus menyelesaikan masalah pengangguran serta miskin tegar di negara ini?

Mekanisme G to G plus antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan diperluas ke sektor lain bagi mempercepat urusan permohonan. Mekanisme itu kononnya menjamin kelicinan proses pengambilan pekerja Bangladesh. Pendekatan itu bertentangan dengan perancangan penyelesaian masalah dalam Model Ekonomi Baru (MBE) yang digagaskan Perdana Menteri.

Sebanyak 40 peratus isi rumah Malaysia masih memperoleh pendapatan kurang RM1,500 sebulan. Ketaksamaan pendapatan perlu ditangani dengan giat bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi yang meluas di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar di Semenanjung.

Di manakah political will  (keazaman politik) dan jaminan kuasa untuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri serta Perdana Menteri menyelesaikan masalah itu jika peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pertanian dimonopoli pekerja asing?

Mengikut laporan tahunan 2014, dalam Pelan Transformasi Ekonomi Kerajaan, Sistem Insurans Pekerjaan akan diwujudkan sebagai jaminan kepada pekerja tempatan dalam semua sektor. Matlamat utamanya termasuk jaminan pendapatan iaitu mengisi kehilangan pendapatan yang dialami pekerja dan keluarga mereka. Adakah pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh akan menyelesaikan risiko kemiskinan bagi masyarakar peladangan tempatan?

Kerajaan juga berjanji membantu pencarian dan penempatan kerja dalam semua sektor pekerjaan. Mengapa rakyat tempatan tidak diberi peluang menikmati peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Kerajaan Malaysia?

Peluang kebolehgajian yang lebih tinggi juga dijanjikan mengikut pengurusan Kementerian Sumber Manusia. Namun, kesan negatif pengambilan buruh asing yang murah akan menyebabkan pekerja tempatan tidak menikmati peluang bayaran upah dalam sektor peladangan yang bersesuaian dengan produktiviti mereka.

Adakah nasib syarikat swasta dan kapitalis serta tauke besar dalam sektor peladangan lebih dilindungi keuntungan mereka berbanding kebajikan dan kenaikan pendapatan kelas peladang tempatan di seluruh negara?

Pilihan Raya Sarawak 2016 dijangka pada April 2016. Kelihatan mekanisme itu seperti tergesa-gesa hendak diluluskan secara bersama antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh. Adakah kemasukan mereka penting untuk menambah ‘pengundi hantu’ di Sarawak dan menyaksikan kemenangan Adenan Satim bersama parti PBB-BN terus meningkat berikutan kemerosotan undi popular dan jumlah kerusi pada pilihan raya DUN 2011?

Siapa empunya sumber ekonomi Malaysia?

Ingatlah, kami sebagai rakyat ada hak untuk menyentuh perkara ini kerana ia berkaitan pasaran kerja industri peladangan di negara ini. Juga melibatkan sektor lain seperti yang dicadangkan mengikut “mekanisme G to G plus” antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh.

Kami berhak menegur secara terbuka berkenaan pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk sebelum rakyat tempatan dinafikan hak oleh pemerintah yang membuat polisi korup. Malaysia adalah negara bagi 28 juta rakyat Malaysia.  Bukan hak milik tauke besar dalam sektor peladangan, bukan hak milik parti pemerintah yang dibayar gajinya oleh rakyat dan bukan milik kerajaan Bangladesh. Paling penting, ia bukan hak 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Kami risau, jika penguatkuasaan TPPA bermula pada 2018, apakah nasib pekerja tempatan terjamin dengan puluhan juta peluang pekerjaan jika pemerintah korup lebih mesra dengan kepentingan tauke tempatan dan antarabangsa serta mesra pekerja asing yang murah kos upahnya.

Ke mana sebenarnya nasib rakyat hendak kerajaan UMNO BN halakan? Saya tidak yakin pendapatan rakyat menjadi pendapatan tinggi pada 2020 kerana empat tahun berbaki seolah-olah ia hanya retorik dan janji manis.

Kami tidak perlu menjadi ahli politik untuk mengubah polisi ini. Suara kolektif kami akan memastikan perkara itu diubah demi kebaikan rakyat Malaysia keseluruhannya. Tuntasnya. Jadi, kmi merayu manfaatkan 1.5 juta komuniti peladang tempatan untuk memenuhi permintaan industri dalam sektor perladangan.

Enough is enough!

Jika tidak, kami akan menentukan nasib pemerintah hari ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

 
* Jufazli S A adalah alumni Universiti Malaysia Sabah dan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia. Merupakan kelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan merupakan graduan kelulusan Sarjana Sains Politik.