Rencana

Rasuah berleluasa, biasiswa pendidikan pula jadi mangsa

Impian ribuan anak muda lepasan sekolah berkecai ekoran pengumuman semakan semula Bajet 2016. Ini kerana mereka telah bertungkus lumus dalam pengajian mereka demi mencapai keputusan cemerlang. Mereka telah banyak berkorban masa dan wang dengan harapan untuk meraih biasiswa kerajaan yang dijanjikan bagi meneruskan cita-cita mereka untuk belajar di universiti terbaik.

Malangnya, sekurang-kurangnya 2,436 pelajar akan kehilangan peluang mereka kerana keputusan kerajaan untuk mengurangkan program biasiswa JPA sebanyak 20 hingga 60 peratus.

Dalam kenyataan beliau, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak tidak memberi gambaran keseluruhan yang benar apabila mengisytiharkan bahawa kerajaan “telah bersetuju untuk meneruskan empat program biasiswa JPA untuk tahun 2016,” iaitu, Program Biasiswa Nasional, Program Khas Kejuruteraan ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis, Program Lepasan Bursary dan Program Ijazah Pertama dalam Negara.

Walaupun benar bahawa empat program ini akan diteruskan, Perdana Menteri gagal mendedahkan bahawa semua program ini akan dipotong dengan ketara berbanding peruntukan tahun lepas, seperti yang dinyatakan dalam jadual di bawah.

jadual biasiswa

Keputusan mengurangkan keempat-empat program biasiswa JPA sebanyak 20 hingga 60 peratus sangat mendukacitakan. Hakikatnya, jumlah wang yang diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Bajet 2016 adalah tidak banyak – hanya RM1.65 bilion, itu pun setelah dikurangkan daripada RM1.93 bilion bagi tahun 2015.

Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), masakan dana tidak boleh disalurkan daripada JPM bagi membiayai biasiswa JPA? Lagipun, Najib telah membuktikan betapa senangnya beliau boleh memperolehi wang derma sebanyak RM2.6 bilion, iaitu jauh lebih banyak daripada yang diperlukan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar cemerlang negara kita.

Dalam pada itu, jika kekangan kewangan merupakan alasan utama bagi keputusan ini, maka ia sebenarnya membuktikan kegagalan kepimpinan Najib untuk menguruskan ekonomi dan kewangan negara dengan baik.

Meskipun kita tidak menafikan faktor-faktor luaran seperti kejatuhan harga minyak dunia, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan kelembapan ekonomi China sebagai sebab-sebab permasalahan ekonomi yang dihadapi negara kita, namun pelbagai pakar ekonomi termasuk Bank Negara sendiri pernah mengenalpasti skandal wang derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri serta hutang 1MDB yang masih tidak selesai dengan sepenuhnya sebagai antara punca kehilangan keyakinan pelabur dalam negara kita, lantas menyumbang kepada kejatuhan ketara nilai matawang ringgit. Adakah ini yang diuar-uarkan sebagai “Najibnomics?”

Justeru, daripada memangsakan pelajar-pelajar kita, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mengatasi segala ketirisan dan salah tadbir yang merugikan negara kita. Sebagai contoh, Bajet Pakatan Harapan Alternatif 2016 menganggarkan bahawa penjimatan kira-kira RM30 bilion atau lebih 10 peratus daripada Belanjawan Persekutuan boleh dicapai hanya dengan memperkenalkan dasar-dasar perolehan yang lebih telus seperti tender terbuka, menghapuskan monopoli tidak kompetitif dan mengurangkan amalan rent-seeking.

Antara pemotongan lain yang boleh dibuat adalah dengan mengurangkan peruntukan JPM yang kian melampau. Pada tahun 2006, JPM hanya diperuntukkan RM4.26 bilion, dan dalam masa 10 tahun angka ini sudah digandakan lima kali kepada RM20.30 bilion. Apakah perlunya peruntukan yang begitu besar dalam tangan Perdana Menteri?

Tambahan kepada itu, bilangan menteri dan timbalan menteri kita sudah berjumlah hampir 70 orang sekarang. Jika dibandingkan, negara Australia hanya mempunyai 21 orang Menteri Kabinet, sementara United Kingdom mempunyai 22. Di Malaysia, kita mempunyai 36 orang Menteri Kabinet, serta empat Wakil Khas dan empat Penasihat Khas yang bertaraf menteri. Ini bermaksud kita mempunyai 44 orang bertaraf menteri penuh, iaitu dua kali ganda negara Australia dan United Kingdom. Adakah ini kerana kita memerlukan dua orang menteri untuk melakukan kerja seorang menteri?

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia tidak boleh menerima potongan besar dalam sektor pendidikan sedangkan pada masa yang sama, rasuah, ketirisan dan skandal kewangan melimpah ruah. Berpuluh-puluh bilion ringgit sudah pun terbazir melalui skandal besar seperti 1MDB, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan skandal Forex Bank Negara, sekadar menamakan beberapa contoh. Menurut laporan terbaru pemerhati kewangan Global Financial Integrity yang diterbitkan bulan lalu, Malaysia kehilangan sejumlah USD48.25 bilion pada tahun 2013 sahaja melalui aliran keluar modal haram berpunca daripada pengelakan cukai, jenayah, rasuah, dan aktiviti haram lain.

Apabila RM500 juta boleh dibayar sebagai “komisyen” bagi pembelian kapal selam dan RM250 juta pinjaman mudah untuk tujuan penternakan lembu boleh diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman tetapi memiliki hubungan politik, tindakan kerajaan untuk menafikan peluang pelajar-pelajar cemerlang kita untuk melanjutkan pendidikan mereka dalam universiti terbaik dunia langsung tidak boleh diterima dan sungguh menghampakan. -Roketkini.

 

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera