Berita

1.5 juta pekerja Bangladesh dibawa masuk ketika ribuan rakyat tempatan hilang pekerjaan

BUKIT MERTAJAM 25 FEB: Kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini kononnya untuk memenuhi pelbagai sektor di negara, dibuat ketika ribuan rakyat tempatan hilang pekerjaan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, dianggar seramai 25,000 pekerja tempatan diberhenti kerja tahun lalu, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, situasi buruk itu berlarutan sehingga tahun ini, malah Menteri Sumber Manusia, Richard Riot memberi amaran trend pemberhentian sedemikian dijangka terus berlaku hingga tahun depan.

Lebih buruk lagi, beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) juga dikhuatiri mengakibatkan 30 peratus Industri Kecil dan Sederhana (SME) terpaksa gulung tikar, sekaligus menghapus peluang pekerjaan.

Justeru, beliau mempersoal tindakan kerajaan UMNO BN menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa masuk pekerja negara itu kononnya untuk memenuhi keperluan sektor industri.

“Industri mana yang sebenarnya memerlukan 1.5 juta pekerja Bangladesh?” katanya pada kenyataan media semalam sambil mengingatkan kerajaan mengenai kebanjiran sedia ada pekerja warga asing di negara ini iaitu seramai 2.1 juta.

Kata Steven, jumlah 2.1 juta itu tidak termasuk jumlah dua hingga tiga juta pekerja asing yang kini menetap di negara ini tanpa dokumen sah dan berkemungkinan bekerja tanpa permit.

“Kerajaan anggarkan pekerja asing terdiri daripada 17 peratus pekerja di negara ini dan sasar untuk kurangkan ke 15 peratus pada 2020.

“Bagaimanapun, ia secara jelas satu kiraan lapuk memandangkan ada dua hingga tiga juta warga asing tidak berdaftar yang mungkin bekerja di Malaysia.

“Dengan kata lain, pekerja asing sama ada berdaftar atau tidak, berpotensi menguasai satu pertiga jumlah pekerjaan,” katanya dan menambah, kemasukan 1.5 juta pekerja asing membayangkan separuh dominasi kaum itu dalam sektor pekerjaan pada 2018.

Beliau turut mengaitkan laporan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peratusan KDNK kian mengecil sekaligus menjadikan amalan pengambilan pekerja untuk tahun berikutnya bakal terjejas.

“Justeru, di mana sebenarnya kekosongan untuk 1.5 juta pekerja Bangladesh itu dengan tambahan kepada 2.1 juta pekerja asing di negara ini?” katanya.

Terdahulu, Steven menyifatkan dasar kerajaan membawa masuk pekerja asing ke negara ini tanpa sebarang kajian teliti seolah-olah memberi gambaran dasar itu tidak “terurus, semberono, sembarangan dan tidak masuk akal”

Beliau percaya empat syarikat iaitu NERS Sdn. Bhd., MyEg Sdn. Bhd., Synerflux Sdn. Bhd. dan Fomema Sdn. Bhd, yang ada hubung kait rapat dengan kerajaan UMNO BN membuat keuntungan hasil caj levi dan kos pemprosesan dokumen. -Roketkini.com