Berita

Tiada perubahan politik tanpa kesedaran rakyat, kata Senator DAP

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Malaysia tidak mungkin mengalami pembaharuan politik tanpa kesedaran dan perubahan minda majoriti rakyat Malaysia meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan keluar UMNO sekali lagi.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Senator Dr. Ariffin Omar, berkata perubahan politik hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan UMNO-BN dijatuhkan dalam pilihan raya, dan bukannya sekadar menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak mungkin berlaku perubahan politik yang baik tanpa perubahan dasar-dasar negara yang rosak dan gagal. Sebab, sebelum ini, Dr Mahathir juga yang telah merosakkan institusi-institusi negara seperti polis, perundangan, parlimen dan sebagainya,” katanya kepada Roketkini.com.

Menurutnya, perubahan sebenar hanya boleh berlaku apabila ia melibatkan perubahan positif melalui wujudnya sebuah kerajaan baru dengan dasar-dasar pro-rakyat serta bersifat telus dan menegakkan hak asasi manusia serta memberi ruang kebebasan.

“Sebab itu bukan Najib sahaja harus ditukar tetapi juga kerajaan UMNO-BN dengan berlandaskan prinsip demokrasi,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri, pula berpendapat meskipun tindakan Dr Mahathir keluar parti itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ia mampu memberi kesan besar terhadap pemikiran rakyat, khususnya masyarakat Melayu.

“Secara peribadi, saya amat mengalu-alukan tindakan beliau keluar dari UMNO,” katanya kepada Roketkini.

Menurutnya, dengan keadaan politik dan ekonomi semasa yang amat menggusarkan majoriti rakyat, tindakan bekas Perdana Menteri itu mampu menjadi dorongan untuk satu perubahan besar dalam politik Malaysia.

“Beliau keluar UMNO bererti ia satu penghormatan kepada rakyat khususnya orang Melayu atas apa yang telah Najib lakukan.

“Tun Mahathir memiliki sokongan besar orang Melayu. Jadi kita harap, apa yang dia buat akan beri perubahan besar yang bermakna kepada negara,” ujar beliau. -Roketkini.com