Berita

Masalah utama rakyat adalah kezaliman pemerintah, rasuah dan salah guna kuasa, bukannya moraliti

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Keutamaan perjuangan rakyat Malaysia adalah menentang pemerintah yang zalim, rakus, rasuah dan salah guna kuasa, dan bukannya ghairah untuk mengawal akhlak peribadi.

Dalam satu kenyataan bersama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, dan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid, mereka menegaskan pendirian bahawa mesej abadi Islam adalah keadilan dan kesaksamaan tanpa diskriminasi.

Sehubungan itu, mereka berpendapat cadangan mengenakan hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan zina seperti yang dicadangkan oleh wakil rakyat PAS di Kelantan bukan keutamaan untuk rakyat Malaysia, malah bukan cara yang baik untuk mendekatkan orang dengan Islam.

Menurut mereka, dasar ajaran murni Islam adalah pencegahan, pendidikan dan keadilan bagi semua manusia.

“Apa-apa pun, pindaan kepada mana-mana rang undang-undang haruslah berpaksikan kepada semangat demokrasi, keadilan dan kebebasan dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujar mereka.

Kasthuri yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, dan Syerleena sebagai Timbalannya, mengulas cadangan Adun Tawang, Datuk Hassan Mohamood, yang mahu mengenakan hukuman sebatan rotan itu.

Menurut mereka, cadangan Adun PAS itu mendapat sokongan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, yang memetik hukuman sebat di Aceh, Indonesia sebagai contoh “modus operandi” untuk kesalahan berzina dan khalwat.

“Hukuman-hukuman seperti sebatan di khalayak ramai bagi kesalahan berzina, khalwat serta minum arak di Aceh, Indonesia merupakan satu contoh yang keterlaluan tanpa mengambil kira pendapat umum dalam masyarakat berbilang kaum, dan juga kes-kes di mana perogol dibebaskan hanya kerana mangsa rogol tidak dapat menampilkan 4 orang saksi.

“Jadi persoalannya, di manakah keadilan bagi mangsa-mangsa rogol? Bukankah mereka sepatutnya diberikan pengadilan yang sewajarnya? Bagaimana pula dengan penjenayah yang melakukannya?” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan mereka turut melahirkan kerunsingan terhadap sesetengah pemimpin PAS yang membuat kenyataan-kenyataan memperlekehkan hak, kedudukan serta peranan wanita dalam prasarana politik di Malaysia, termasuk menghina wanita, dalam percaturan politik mereka.

Dengan persepsi regresif sedemikian, kedua-dua pemimpin Wanita DAP itu mempersoal sama ada kalangan pemimpin PAS mampu memastikan semangat dan nilai murni Islam sebagai pendukung keadilan dan demokrasi ditegakkan dengan penuh ketaatan terhadap proses kehakiman dalam kes-kes sensitif seperti itu. – Roketkini.com