Berita

DAP cadang kerajaan terus gantung PLKN, kembalikan tajaan biasiswa

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Kerajaan perlu terus menggantung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya peruntukan bagi program itu boleh disalurkan kepada 744 pelajar cemerlang yang ditarik balik tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata ia berikutan kerajaan baru-baru ini mengaku bahawa tindakan menarik balik penggantungan PLKN merupakan satu kesilapan, justeru mencadangkan agar kerajaan meneruskan penggantungan tersebut.

“Sebelum ini, semasa mengumumkan pengubahsuaian bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa menarik balik penggantungan PLKN merupakan satu kesilapan.

“Jadi, mengapa kerajaan mensasarkan masa depan pelajar cemerlang negara dengan menarik balik tajaan biasiswa mereka untuk belajar di luar negara, apabila sepatutnya, PLKN yang harus jadi sasaran?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Johari Baharum seperti dilapor media hari ini, bahawa program PLKN yang kembali dijalankan pada tahun ini mungkin tidak akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Malah, Johari berkata, Majlis Latihan Khidmat Negara akan menentukan waktu sesuai bagi meneruskan program itu dan ia bergantung kepada peruntukan yang diberi oleh Kementerian Kewangan.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, keputusan kerajaan menamatkan tajaan biasiswa JPA untuk 744 pelajar itu hanya mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM240 juta seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman minggu lalu.

Sebaliknya, penggantungan PLKN mampu menjimatkan RM400 juta setahun seperti diumumkan Perdana Menteri pada pengubahsuaian bajet 2015 tahun lepas.

“Jelas bahawa penggantungan serta-merta PLKN untuk tahun ini dan pemansuhan program tersebut pada masa hadapan akan membolehkan kerajaan meneruskan tajaan biasiswa luar negara.

“Tindakan kerajaan menarik balik tajaan biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara sebelum ini adalah zalim. Pelajar pintar adalah aset negara dan mereka tidak patut menjadi mangsa dalam langkah penjimatan oleh kerajaan,” katanya. – Roketkini.com