Berita

Sarawak: DAP jadi pilihan Dayak kerana komited perjuang hak tanah adat

 

SONG, 22 MAC: Semakin ramai masyarakat Dayak menyokong DAP yang banyak mengangkat isu tempatan yang sekian lama diabaikan kerajaan Barisan Nasional Sarawak, termasuk dalam isu pilih kasih pemberian geran tanah dan pembangunan.

Calon berpotensi DAP bagi Dewan Undangan Negeri Katibas, Paren Nyawi, berkata perjuangan anak negeri untuk mendapatkan hak tanah bagi masyarakat Dayak selari dengan Deklarasi Pelan Tindakan Dayak DAP.

Menurutnya, deklarasi ini menuntut supaya lebih banyak tanah milik orang Dayak di kawasan Katibas disukat di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Bab 81.

Paren dan dayakDengan itu ia membolehkan pemilik tanah hak adat atau tanah NCR (Native Customary Rights) memiliki surat milik tanah (geran) dan kita berasa sedih mengapa sampai sekarang penduduk yang telah lama berada di sini tidak mendapat geran tanah,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Pengerusi protem DAP Katibas itu menjelaskan, buat masa ini sebahagian besar tanah di kawasan Katibas hanya disukat  di bawah  Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak 81 Inisiatif Baru NCR, iaitu Tanah Rizab Gunasama Bumiputera( Bumiputera Communal Reserve).

Antara kawasan yang masih tidak bergeran di Katibas ialah di kawasan Takan dan Musah sebanyak 3,010 ekar, kawasan Nanga Katibas dan Sungai Tekalit sebanyak 9,844 ekar dan Sungai Sipan, Sesawa dan Temalat, tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat Dayak mula sedar tentang seriusnya DAP dalam usaha membantu mereka mendapatkan hak yang selama ini diabaikan kerajaan BN.

Paren berkata, di Katibas sahaja, DAP telah menerima 14 ahli yang merupakan kumpulan pertama Dayak menyertai DAP di kawasan itu.

“Kebanyakan mereka menyertai DAP kerana melihat komitmen DAP membantu masyarakat khususnya dalam program dan aktiviti yang diadakan seperti projek dan program Impian Malaysia-Impian Sarawak, selain tidak puas hati dengan sikap pilih kasih kerajaan BN dalam isu-isu tanah dan pembangunan.

“Mereka juga bersetuju dengan ideologi DAP yang memperjuangkan keadilan dan kesamarataan di mana tidak seorang pun rakyat perlu dipinggirkan kerana Impian Malaysia tidak akan tercapai jika ada mana-mana etnik termasuk masyarakat Dayak tercicir dari arus perdana pembangunan nasional,”ujar beliau.

Antara yang menyerahkan borang penyertaan DAP dalam satu majlis di sini awal bulan ini ialah Tuai Rumah, Inggong Anak Garai yang berasal dari Nanga Nyimoh Katibas Song dan Senin Anak Ijau yang  juga merupakan penduduk Nanga Chemanong Ulu Katibas.

Lima dari Sungai Tekalit, dua berasal dari Nanga Engkuah Ulu Katibas , dua dari Nanga Takan dan Nanga Sepadi.

Sejak Pilihan Raya Negeri lalu, DUN Katibas diwakili oleh Datuk Ambrose Blikau Enturan dari BN-PBB dengan majoriti 2,256 undi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 63.18 peratus mendahului calon-calon lawan. – Roketkini.com