Berita

DAP cabar pemimpin UMNO-BN isytihar harta dalam masa 48 jam

GEORGE TOWN, 24 MAC: Pemimpin UMNO-Barisan Nasional dicabar supaya melakukan pengisytiharan harta seperti mana yang pernah dilakukan pemimpin Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor untuk membuktikan ketelusan mereka dalam mengurus dana awam.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, jika mereka berani, ia adalah bertepatan dengan usaha sesebuah kerajaan mewujudkan pentadbiran yang bersih, sekali gus menyumbang kepada urus tadbir negeri yang baik.

“Saya ingin cabar semua wakil rakyat BN untuk melakukan pengisytiharan harta, dalam tempoh masa 48 jam, supaya rakyat dapat menilai sendiri dan sama ada apa yang diisytiharkan perlu disiasat selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Adun Datok Keramat berkata, langkah pengisytiharan harta itu juga pernah dilakukan ahli-ahli wakil rakyat Pakatan Harapan di Pulau Pinang tanpa paksaan, malah langkah yang sama juga diambil oleh EXCO negeri.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar sekiranya langkah itu digubal menjadi satu bentuk perundangan dan seterusnya kewajipan berkanun kepada setiap wakil rakyat dan EXCO negeri bagi memastikan ketelusan pentadbiran sesebuah kerajaan tidak dipersoal.

“Semua wakil rakyat Pakatan Harapan di negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta secara umum.

“Usaha ini telah dilaksanakan selepas Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2008 yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan barisan EXCO beliau telah mengisytiharkan harta mereka.

“Selepas PRU13, pengisytiharan harta ini dilakukan secara sukarela oleh semua Adun di negeri Pulau Pinang, dan negeri Selangor untuk barisan EXCO,” katanya.

Dengan mengambil kira senario tersebut, Jagdeep berkata, tidak ada sebab pemimpin BN tidak boleh membuat pengisytiharan, sama ada di peringkat negeri Pulau Pinang mahupun di peringkat kebangsaan. – Roketkini.com