Berita

DAP gembira nama Aminulrasyid dibersihkankan, mohon Ketua Polis Negara minta maaf

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Lim Guan Eng bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang telah memerintahkan defendan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, membayar gantirugi RM414,800 kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak oleh polis hampir 6 tahun lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, walaupun gantirugi ini tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kehilangan orang yang disayangi dan menjadi harapan keluarga, sekurang-kurangnya ia dapat mengembalikan keadilan dan kebenaran.

Tambah beliau, ia juga dapat  mengubat kedukaan pihak keluarga yang telah berjuang selama beberapa tahun naik turun mahkamah bagi menuntut keadilan.

“Sekurang-kurangnya Ketua Polis Negara harus memohon maaf secara terbuka kepada keluarga terbabit dan juga kepada rakyat Malaysia di atas kematian arwah Aminulrasyid bagi menunjukkan rasa tanggungjawab pihak polis.

“Diharapkan peristiwa sebegini tidak akan berulang lagi di masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kes tersebut juga menunjukkan betapa perlunya ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis atau “Independent Police Complaints and Misconduct Commission” (IPCMC).

Katanya, idea mewujudkan IPCMC telah pun dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah dikemukakan pada 16 Mei 2005.

Menurutnya, sudah banyak kes yang melibatkan salah laku dan jenayah oleh anggota polis, terutamanya kematian dalam tahanan terbiar tanpa siasatan bebas, telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap tahap profesionalisme PDRM.

“Penubuhan IPCMC akan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap PDRM dan yang paling penting memastikan kes-kes salah laku dan jenayah oleh anggota polis tidak akan berulang lagi kerana mereka tahu adanya badan bebas yang akan menyiasat kes mereka.

“Amalan sekarang (tidak sesuai) di mana ianya akan disiasat oleh polis sendiri yang terdedah kepada berlakunya amalan ‘melindungi sesama kawan’ dan sebagainya seperti yang terbukti dalam kes yang melibatkan arwah Aminulrasyid,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengucapkan tahniah kepada PDRM sempena Hari Polis ke-209 hari ini, dengan berterima kasih kepada semua anggota polis yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah, jujur dan dedikasi.

“Tanpa mereka kita rakyat Malaysia tidak mungkin akan dapat menikmati kehidupan yang aman dan selamat seperti yang kita nikmati sekarang ini.

“Penubuhan IPCMC yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan bukanlah untuk menghukum pihak polis, sebaliknya ianya adalah bagi memastikan institusi polis terus diyakini dan dihormati oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini,” ujar beliau. – Roketkini.com