Berita

Tuduhan terhadap Guan Eng adalah fitnah, tak sama dengan rasuah Khir Toyo

 

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Tindakan propagandis dan cybertrooper UMNO-Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini menyerang kepimpinan DAP hanyalah semata-mata mahu menutup salah laku skandal yang melibatkan pemimpin tertinggi mereka daripada terus menjadi perhatian umum.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pihak UMNO-BN cuba menyamakan tuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dengan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo.

Katanya, dalam kes Khir yang membeli rumah di bawah harga pasaran di mana pada awalnya tidak mendapat persetujuan pemilik asal rumah berkenaan kerana pihaknya telah membeli rumah tersebut pada harga RM5 juta dan melakukan pengubahsuaian yang melibatkan kos RM1.5 juta.

Menurutnya, pemilik asal rumah berkenaan juga tidak bersetuju dengan harga RM3.5 juta yang ditetapkan oleh Khir untuk memiliki rumah berkenaan berserta dua lot tanah kerana pihaknya menuntut harga yang sewajarnya iaitu RM6.5 juta.

“Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Hayroni, memberitahu Mahkamah Tinggi pada hari keempat perbicaraan kes rasuah Khir pada Jun 2011 bahawa beliau telah menjual dua lot tanah dan sebuah banglo dengan harga RM3.5 juta kepada Khir kerana takut projek perumahannya di Selangor terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menjelaskan, tuduhan yang dilemparkan oleh UMNO-BN terhadap Guan Eng tidak sama dengan kes rasuah Khir Toyo kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu membeli rumah terbabit dengan persetujuan pemilik asal rumah berkenaan secara sukarela, malah pemilik terbabit tidak mempunyai sebarang kepentingan projek di Pulau Pinang.

“Dalam kes Guan Eng, penjual rumah berkenaan, Phang Li Koon telah membuat akuan bersumpah menafikan bahawa beliau terlibat dalam mana-mana syarikat yang berurusan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Jadi, tidak ada asas langsung untuk membuat perbandingan seumpama itu,” tegasnya. – Roketkini.com