Berita

DAP kecam serangan maut di Pakistan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: DAP hari ini mengutuk serangan maut di Lahore, Pakistan yang telah mengorbankan lebih 70 nyawa termasuk kanak-kanak.

Serangan yang dilaporkan media didalangi fraksi Taliban Ahad lalu itu menyasarkan warga Kristian yang menyambut Easter, namun tindakan membuta tuli itu telah mengorbankan sejumlah besar warga beragama Islam, termasuk 29 orang kanak-kanak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, DAP bersolidariti dengan masyarakat antarabangsa dan tidak tergugat dengan kempen kebencian dan keganasan, serta akan terus komited dengan nilai-nilai manusiawi untuk kehidupan dalam persekitaran yang tenteram tanpa permusuhan dan keganasan.

“Kita kesal kerana agama seringkali dijadikan punca dan alasan untuk saling berbunuhan, ketimbang menjadi faktor pengikat silaturahim dan kasih sayang sesama insan. Penyudahnya tafsiran salah terhadap agama akhirnya mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

“Merebaknya keganasan akibat salah faham terhadap agama serta menghalalkan keganasan atas nama Tuhan, adalah penyakit sosial yang harus ditangani bersama, tanpa merebakkan pula fobia terhadap agama dan jutaan penganutnya yang beramal secara sederhana.

Menurut beliau, siri keganasan yang berterusan dari Paris, Jakarta, Ankara, Istanbul, Brussels dan kini Lahore, tidak akan melemahkan semangat warga dunia untuk berjuang demi keamanan.

“Malah ia akan menyatukan masyarakat antarabangsa menentang keganasan mana-mana pihak yang sudah ketandusan hujah dan idea untuk berbincang secara ilmiah,” ujarnya. – Roketkini.com