Berita

Panas terik tak halang rakyat desak Najib undur, mansuh GST

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kemarahan rakyat pelbagai kaum, gender dan lapisan masyarakat tergambar jelas apabila tidak mengendahkan panas melampau yang melanda ibu kota dan beberapa negeri lain dengan turun berarak beramai-ramai ke Dataran Merdeka semalam.

Mereka membawa pelbagai slogan dan plakad menuntut Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuh dan mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan “Mansuh GST; Undur Najib” dilakukan ketika Perdana Menteri didedahkan lagi dengan beberapa skandal terbaharu membabitkan wang sejumlah RM4.2 bilion seperti yang dibongkarkan sebuah stesen penyiaran Australia, ABC News termasuk berbelanja sebanyak AS$15 juta untuk percutian, barangan kemas dan perhiasan.

Daripada stesen berkumpul, Jalan Sultan, pimpinan pelbagai peringkat DAP, aktivis, dan penyokong bersama rakyat pelbagai kaum mula bergerak bermula jam 2.15 petang menuju Dataran Merdeka diketuai Setiausaha Organisasi DAP Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee.

Terdahulu, beberapa orang pimpinan muda DAP berucap mendesak kerajaan memansuhkan GST yang telah memberi bebanan besar kepada kenaikan kos hidup ke atas rakyat khususnya golongan pekerja.

SUFI4535Antara yang memberi ucapan ialah Ketua Sosialis Muda (DAPSY) DAP, Wong Kah Woh yang juga Adun Canning; Timbalan Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Wong King Wei yang juga Adun Padungan; Naib Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Arul Kumar yang juga Adun Nilai; Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid; Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah dan beberapa lagi.

Perarakan yang dikawal Unit Tindak DAP, kemudian bergerak sambil melaungkan slogan-slogan “Bantah GST”, “Undur Najib” sepanjang jalan melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock, dan bertemu bersama kumpulan yang berhimpun di Pasar Seni dipimpin PKR dan kemudian menuju ke Jalan Tun Perak bergabung dengan kumpulan yang bergerak dari Kampung Baru dipimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

Pertemuan ketiga-tiga kumpulan besar di Jalan Tun Perak yang bersebelahan Dataran Merdeka hiruk pikuk dengan nyanyian dan laungan sorak-sorai demonstran dengan slogan serta plakad kreatif yang dibawa.

SUFI4743Antara yang memberikan amanat ialah Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata ketirisan serta salah guna dana kerajaan untuk kepentingan diri tanpa menghiraukan kesusahan rakyat ekoran daripada pelaksanaan GST adalah salah satu sebab mengapa Najib harus berundur.

“Saat kita semua terbeban kerana GST, Najib berbelanja mewah. Pergi Itali, pergi Honolulu, habiskan juta-juta. Sudah tiba masanya untuk Najib undur serta-merta!” katanya sambil disambut dengan sorakan “undur Najib!”.

SUFI4632Ketua Pembangkang, Datuk Seri Datin Wan Azizah Wan Ismail pula menggesa supaya pemimpin UMNO-BN yang bersikap zalim terhadap rakyat kerana sanggup melaksanakan GST yang disifatkannya sebagai amat membebankan, supaya menghentikan pelaksanaan cukai itu serta merta.

“Berapa lama lagi kita boleh tahan? Kalau negara kita dihancurkan? Kita rakyat yang menanggung. Pemimpin yang diamanahkan, sudahlah. Takat mana mampu bertahan dan sampai bila mahu kita (rakyat) didera?” Soalnya.

Menyifatkan Najib sebagai “kepala” rasuah negara, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pula berkata tindakan penyelewengan yang dilakukan pemimpin nombor satu itu telah mengakibatkan nama negara tercemar, ekoran daripada itu, rakyat diseru supaya bersatu menentang pemimpin korup itu.

“Institusi negara yang hancur perlu dibetulkan…sekarang semua orang tahu negara kita menghadapi masalah rasuah, Najib kepalanya (ketua), sebab itu kita bersatu hari ini, untuk menolak Najib,” katanya dengan nada penuh bersemangat.

SUFI4811Pentas ucapan Mansuh GST dikejutkan dengan ketibaan tidak diduga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyampaikan beberapa amanat kepada rakyat yang antaranya menyeru supaya orang ramai menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak supaya Najib berundur.

Selain itu, Mahathir sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat turut mengakui pernah merayu kepada Najib supaya tidak melaksanakan GST, namun rayuan itu tidak diendahkan.

“(Najib laksanakan GST) Kerana dia nak duit daripada rakyat, untuk bayar hutang (1MDB). Sebab itu kita mesti jatuhkan Najib,” katanya sambil disambut laungan “reformasi” dan “bebas Anwar”.

Menyifatkan Najib sebagai “pekak” kerana berdegil tidak mahu mendengar suara rakyat, Mahathir berkata, Najib pasti akan membuat tuduhan dan tafsiran melulu terhadap perhimpunan berkenaan dengan mengatakan bahawa ia kononnya adalah agenda kaum Cina untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan kaum Melayu.

“Bila ada tunjuk perasaan macam ini, dia (Najib) akan tafsir, ini percubaan orang Cina nak jatuh kerajaan Melayu, ini semua (hadirin) orang Melayu ada, orang Cina pun ada,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai. – Roketkini.com