Berita

Anak muda semakin celik kezaliman UMNO-BN, berani walau risiko tinggi

KUALA LUMPUR. 4 APRIL: Ribuan anak muda dari pelbagai kaum hadir dan menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam Himpunan Undur Najib Mansuh GST yang berlangsung di Dataran Merdeka Sabtu lalu.

Ia membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib semakin gagal menambat hati anak muda yang merupakan golongan pengundi terbesar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Lebih-lebih lagi, semakin banyak skandal kewangan Najib didedah oleh media antarabangsa, justeru meningkatkan kemarahan golongan muda yang rata-ratanya dibebani pelaksanaan GST serta dasar ekonomi dan buruh yang pincang sehingga memaksa mereka hidup dalam keadaan tidak stabil.

Demonstran muda yang hadir ke himpunan itu memeriahkan suasana dengan pelbagai plakad serta poster menarik dan kreatif bagi mendesak peletakan jawatan Najib sebagai Perdana Menteri dan pemansuhan GST.

Antara plakad yang diangkat dengan semangat oleh demonstran muda bertulis “Koruptor Rajanya Maling” yang memaparkan gambar Najib dengan susunan wang di tangan selain plakad “Mansuh GST” dalam pelbagai corak dan gaya.

Selain itu, mereka turut menjadikan medan himpunan itu sebagai tempat menunjukkan budaya protes terhadap undang-undang zalim kerajaan dengan memakai baju dan penutup mulut “Kita Semua Penghasut” dengan imej Najib berwajah badut; hasil karya aktivis Fahmi Reza.

Imej itu sebelum ini dikritik oleh pimpinan dan penyokong kerajaan BN kerana kononnya ia menjatuhkan reputasi Najib sehingga Fahmi dipantau oleh polis siber selepas Gerakan Merah membuat laporan polis berhubung imej berkenaan.

Himpunan itu turut diwarnai persembahan muzik oleh kumpulan muzik, BangsArt yang menyanyikan lagu-lagu perlawanan untuk menaikkan semangat peserta himpunan agar ia tidak hilang dalam cuaca terik hari itu.

Selain itu, pimpinan muda DAP juga tidak ketinggalan memberi ucapan berkobar-kobar menuntut penyingkiran Najib serta pemansuhan GST yang menambah kos sara hidup rakyat.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) yang juga Adun Canning, Wong Kah Woh, berkata perhimpunan Undur Najib Mansuh GST berkenaan adalah mesej jelas kepada Najib dan Barisan Nasional bahawa rakyat sudah tidak tahan dengan segala salahlaku dan rasuah dilakukan mereka.

“Himpunan ini merupakan satu bukti bahawa kami (rakyat) marah dan mahukan satu kerajaan baru!” laungnya sambil mendapat sorakan gemuruh para demonstran yang hadir.

Sementara itu, Timbalan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) yang merupakan Adun Padungan, Wong King Wei, melahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap dasar membebankan rakyat dilaksanakan oleh kerajaan BN sehingga kerajaan bertindak mengabaikan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Mengapa rakyat Sabah dan Sarawak perlu bayar GST, sedangkan kemudahan asas seperti api dan air pun kerajaan tidak mampu sediakan? Ayuh kita rakyat tunjuk bahawa kita bantah segala dasar zalim kerajaan ini dengan menolak mereka sekeras-kerasnya dalam Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang!” katanya.

Antara pimpinan muda DAP lain yang turut hadir dan memberi ucapan bersemangat pada himpunan berkenaan adalah Naib Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Arul Kumar yang juga Adun Nilai; Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid.

Mereke berganding dengan pimpinan Amanah dan PKR serta para aktivis dan rakyat prihatin. – Roketkini.com