Berita

Belanja RM55 juta di Jakel, Najib wajib beri penjelasan kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menerangkan kepada rakyat bagaimana beliau mampu memperoleh AS$14 juta (RM55 juta) bagi membeli kain dari peruncit pakaian Jakel Trading dari 2011 hingga 2014, seperti didedahkan akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata kenyataan laman web pro-BN, Mykmu.net yang mempertahankan Najib mengatakan bahawa Perdana Menteri membeli pakaian dan barangan bernilai RM55 juta dari Jakel untuk disumbang kepada pelbagai pihak, sebenarnya tidak menjawab persoalan asas yang dikemukakan rakyat, iaitu sumber wang berkenaan.

“Apabila Mykmu.net mendakwa pembelian Najib itu untuk disumbangkan kepada pelbagai pihak, ia seperti mengakui kebenaran dakwaan WSJ tentang perbelanjaan sebanyak RM55 juta oleh Najib di Jakel.

“Jika ia benar, nampaknya Najib perlu menerangkan kepada rakyat bagaimana beliau boleh menerima wang sebanyak itu sedangkan gajinya kira-kira RM 60,000 sebulan.

“Saya percaya wang itu tidak datang dari kerajaan kerana ia tidak diperuntukkan dalam mana-mana bajet sebelum ini, padahal setiap bajet perlu dibentangkan di Dewan Rakyat. Jadi, saya yakin ia merupakan wang peribadi Najib,” katanya kepada Roketkini.

Lip Eng berkata demikian ketika mengulas kenyataan oleh laman web, Mykmu.net bahawa pembayaran lebih RM55 juta dari akaun peribadi Najib kepada peruncit pakaian mewah Jakel dari 2011 hingga 2014 tersebut adalah untuk sumbangan pakaian dan barangan.

Namun, laman web pro-BN berkenaan tidak menerangkan sumber wang diperolehi Najib bagi membuat pembelian sebanyak itu.

Selain menerangkan sumber wang beliau, Lip Eng berkata, Najib, Mykmu.net atau pihak Jakel sendiri juga perlu mengemukakan resit pembelian oleh Najib di Jakel sebagai bukti perbelanjaan jika ia benar-benar digunakan untuk kerja amal.

“Najib perlu terangkan bagaimana beliau dapat wang sebanyak itu, dan pada masa sama, rakyat berhak tahu benarkah pembeliannya di Jakel adalah untuk disumbangkan kepada pihak lain dan bukannya Rosmah,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar WSJ mendedahkan bahawa Najib dan keluarga membelanjakan AS$15 juta (RM58 juta) untuk membeli barangan mewah di Amerika Syarikat, Itali dan beberapa tempat lain, termasuk Jakel di Malaysia.

Akhbar tersebut turut mendakwa wang itu dilencongkan daripada syarikat dipengerusikan oleh Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipalit pelbagai skandal kewangan sebelum ini. – Roketkini.com