Berita

DAP mahu pastikan MARA terus bantu Bumiputera yang memerlukan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: MARA bukan milik UMNO. Dengan itu, DAP dan Pakatan Harapan akan memastikan peruntukan MARA tidak diseleweng oleh mana-mana pihak dan benar-benar ditujukan kepada rakyat Bumiputera yang miskin.

Malah, jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas menang pada pilihanraya umum ke-14 (PRU-14) nanti, ia akan tetap memastikan MARA menunaikan amanah kepada golongan Bumiputera.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee, berkata DAP dan Pakatan Harapan tidak pernah berniat menghapuskan agensi pro-Bumiputera seperti MARA, tetapi berharap ia betul-betul dapat membantu rakyat.

“Kami (Pakatan Harapan) akan gunakan peruntukan MARA sepenuhnya untuk bantu Melayu miskin, Dayak miskin, serta semua rakyat Bumiputera yang hidup dalam kesusahan.

“Kami tidak akan sesekali benarkan peruntukan MARA itu digunakan untuk mengenyangkan perut mana-mana kroni, sama ada kroni UMNO-BN atau kroni ahli dan pemimpin Pakatan Harapan,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa rakyat Bumiputera kononnya mestilah terus mengundi parti UMNO-BN pada pilihanraya akan datang jika tidak mahu MARA terkubur.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, walaupun UMNO-BN yang memegang tampuk pemerintahan hari ini, mangsa utama dalam segala salahlaku dan ketirisan melibatkan MARA adalah masyarakat Bumiputera sendiri.

“Hampir setiap tahun, ada saja pendedahan Laporan Audit Negara yang menunjukkan kemungkinan berlakunya rasuah dalam MARA.

“Contohnya, pada 2008, MARA bayar hampir RM85,000 untuk dua komputer riba padahal harga satu set kurang dari RM5,000. Pada 2010, MARA membelanjakan wang untuk membeli peralatan elektrik seratus peratus lebih tinggi dari harga pasaran.

“Itu belum termasuk skandal rasuah pembelian bangunan oleh MARA di Melbourne dengan harga RM65 juta berbanding harga pasaran RM51.5 juta. Bakinya dikatakan jadi sogokan di Malaysia, seperti didedahkan oleh media Australia,” katanya.

Beliau berkata, segala skandal, salahlaku dan ketirisan melibatkan MARA seperti yang didedahkan oleh pelbagai pihak itu tidak diselesaikan sehingga ke hari ini.

”Kita dapat lihat, setakat ini tak ada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah untuk segala skandal MARA.

“Sebenarnya, yang kononnya diamanahkan untuk membantu Bumiputera melalui MARA hari ini, mereka itulah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa,” katanya. – Roketkini.com