Berita

Atasi denggi segera jika tidak mahu sektor pelancongan terjejas

BATU GAJAH, 9 APRIL: Sektor pelancongan di negara ini akan terjejas jika kes wabak denggi yang kian meningkat saban tahun dan meragut ratusan nyawa gagal diatasi segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, Sivakumar Varatharaju, berkata industri pelancongan merupakan antara salah satu penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negara, justeru adalah penting untuk mengekalkan persepsi positif terhadap tahap keselamatan kesihatan di negara ini.

“Penyakit ini bukan sahaja mengancam kesihatan dan nyawa rakyat tetapi juga boleh menggugat industri pelancongan negara jika kita gagal mengawalnya.

“Pada 2015, 120,836 kes denggi dilaporkan di seluruh negara. Ia merupakan jumlah yang sangat besar dan menggerunkan. Daripada jumlah itu, 336 pesakit demam denggi telah meninggal dunia.

“Berita-berita seperti ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malah, mengikut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, di antara 14 Februari dan 20 Februari tahun ini terdapat 1,121 kes wabak denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Sehubungan itu, bagi membendung wabak denggi daripada terus menular, beliau menggesa supaya agensi kesihatan yang berkaitan melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat dan memperbanyakkan lagi Ops Gempur Aedes di kawasan tapak pembinaan.

“Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Kebangsaan dan Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri harus lebih aktif dalam segala usaha untuk mengawal wabak ini daripada terus meningkat.

“Walaupun terdapat banyak faktor yang menjadi punca kepada wabak demam denggi, peranan kerajaan dalam mengambil langkah-langkah kawalan tertentu juga adalah amat penting.

“Malah, tanpa kesedaran masyarakat dalam soal kebersihan persekitaran juga, tidak akan memberikan kejayaan terhadap usaha kerajaan membanteras wabak denggi,” katanya. – Roketkini.com