Berita

“Kita dah tua, marilah lakukan sesuatu yang bermakna,” nasihat Kit Siang kepada Adenan Satem

MIRI, 15 APRIL: Keputusan Pilihan Raya negeri Sarawak bagi semua rakyat Malaysia adalah mengenai nasib Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit skandal-skandal mega penyelewengan puluhan billion ringgit 1MDB.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, pula tidak perlu gusar tentang kedudukannya sebagai Ketua Menteri.

Tambahan pula, katanya, tidak wujud sebarang keraguan bahawa Adenan akan kembali sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri ke-11 kelak.

Justeru, menurutnya, Adenan tidak perlu pun menyalahgunakan autonomi imigresen dengan menyekat pemimpn-pemimpin Pakatan Harapan dan pemimpin lain untuk berkempen di Sarawak.

Beliau berkata, tindakan menyekat kemasukan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke yang tiba di Lapangan Terbang Miri pagi ini adalah satu penyalahgunaan kuasa.

“Saya terbang dari KLIA ke Miri hari ini bersama Setiausaha Organisasi DAP dan juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, untuk menjalankan aktiviti politik di Sarawak sempena pilihanraya negeri seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta 18 perkara.

“Tetapi Anthony pula menjadi mangsa salahguna kuasa tidak dibenarkan masuk ke Sarawak dan kembali semula ke KLIA,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, tindakan itu amat tidak wajar dan beliau berpandangan Adenan tidak perlu khuatir kerana Pakatan Harapan hanya untuk meningkatkan majoriti pembangkang serta menarikan majoriti dua pertiga di negeri itu dengan sasaran 28 kerusi.

Dengan kedudukan politik yang kuat, mengapa Adenan perlu merosakkan imejnya sebagai seorang demokrat melalui tindakan yang tidak demokratik menyalahgunakan kuasa autonomi imigresen, soal Kit Siang.

“Saya pernah katakan, Adenan dan saya kini sudah berusia 70-an. Saya 75 dan beliau 72 tahun. Kita tak punya banyak masa lagi untuk aktif berpolitik.

“Jadi, di hujung usia ini, marilah kita lakukan sesuatu yang bermakna, mempromosikan demokrasi, perpaduan nasional dan perjuangkan hak autonomi Sarawak, daripada menyalahgunakan kuasa semata-mata untuk menanggung kesilapan lampau parti kita,” ujar beliau.

Anthony Loke merupakan mangsa terbaru daripada Pakatan Harapan dihalang masuk ke Sarawak untuk berkempen bagi PRN Sarawak.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang telah dilalang masuk ke Sarawak ialah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Penolong Setiausaha Publisiti merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar; Ketua Wanita PKR merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin; dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu. – Roketkini.com