Berita

Cuaca terlampau panas: DAP cadang TNB beri pengguna diskaun bil elektrik

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Di kala cuaca amat panas membahangi negara, Tenaga Nasional selaku pemilik monopoli bekalan elektrik negara perlu melayan aduan pengguna, dan bukannya menyalahkan rakyat sebagai punca kenaikan bayaran bil.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata TNB juga boleh mempertimbangkan untuk memberi diskaun kepada para pengguna selepas tahap penggunaan tertentu bagi meringankan beban orang ramai serta industri kecil dan sederhana yang bergantung kepada sistem penghawa dingin, khususnya sewaktu suhu yang meningkat tinggi pada masa itu.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan menambah, Kerajaan Persekutuan juga harus memainkan peranan sebagai pelaksana dasar dengan menangguhkan dahulu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas bil elektrik yang dikenakan terhadap pengguna.

“Caj GST ke atas bil elektrik sangat membebankan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mendapat pelbagai rungutan daripada pengguna yang terdiri daripada golongan pekerja dan peniaga. Ada peniaga yang turut mendakwa terpaksa membayar bil elektrik RM35,000, sedangkan penggunaan sebelum ini hanya sekitar RM3,000.

Bagaimanapun, TNB seperti yang dilaporkan media, mempertahankan caj berkenaan dengan memberi alasan bahawa suhu yang tinggi akibat El Nino memaksa barangan elektrik seperti peti penyejuk dan alat pendingin hawa menggunakan lebih tenaga elektrik, sekaligus meningkatkan caj elektrik.

“Sukar untuk diterima bahawa kenaikan caj elektrik adalah berpunca daripada pengguna, dan mengandaikan TNB langsung tidak menyumbang kepada fenomena aneh ini.

“Tidak sedikit aduan yang saya terima mengenai meter TNB yang memberi bacaan salah, selain masalah pendawaian yang turut menyumbang kepada ralat dalam pembacaan meter,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Lip Eng, saranan yang diajukan beliau itu harus dipandang serius bagi mengelakkan rakyat terpaksa menanggung caj bil elektrik yang tinggi, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup yang tinggi kini terpaksa dihadapi mereka. – Roketkini.com