Berita

Sarawak: Larry SWP undur, Larry DAP masuk tanding kerusi Bukit Goram

KAPIT, 23 APRIL: Semua mata tertumpu seketika di DUN Sarawak yang baru N63 Bukit Goram apabila calon dari pembangkang, Parti Pekerja Sarawak (SWP), Larry Sng, yang sebelum ini beria-ia mahu bertanding, meletak jawatannya sebagai presiden parti itu sekaligus mengundurkan diri dari bertanding.

Kekosongan lawan yang bakal menyaksikan pertembungan dengan BN yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu segera diisi oleh DAP yang akan mencalonkan anak muda Iban, Larry Asap, 29, seorang graduan sarjana Pendidikan dari Universiti Tun Abdul Razak.

Pengumuman tentang Larry Asap mewakili DAP dibuat kelmarin oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dalam sidang media untuk mengumumkan 30 calon dan kawasan yang bakal ditandingi DAP.

Ketika dihubungi, Larry Asap berkata, penyokong SWP amat kecewa dan marah dengan tindakan presiden mereka sendiri yang meletak jawatan dan mengundur diri dari bertanding di kawasan itu.

Ini kerana mereka yakin N63 Bukit Goram mempunyai potensi besar untuk dimenangi SWP, ujar beliau kepada Roketkini.com.

“Ahli akar umbi SWP yang telah lama melakukan gerak kerja di kawasan itu menyatakan kesediaan sokongan mereka kepada DAP,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan DAP berhadapan pilihanraya, Larry berkata, walaupun Bukit Goram tidak tersenarai dalam kawasan yang bakal ditandingi parti sebelum ini, banyak aktiviti dan program DAP telah dilaksanakan.

“Kita telah laksanakan program-program khidmat masyarakat, lawatan dan sebagainya, penerimaan dari masyarakat setempat juga baik, mereka tak janggal dengan ‘Roket’,” ujar Setiausaha Protem DAP Kapit itu.

Seperkara yang terus menjadi persoalan dan kekecewaan penduduk tempatan, menurut beliau, hilang hubungan atau ‘missing link’ dalam bentuk infrastruktur sejak zaman-berzaman.

“Lebih 50 tahun jalan masih tidak ada, tidak siap-siap, inilah ‘missing link’. Malah isu ini juga sering dimainkan BN. Mereka sering menabur janji untuk membina jalan tetapi tidak dilaksanakan,” jelasnya.

Menurutnya, masyarakat di Bukit Goram terpaksa menaiki bot ekspres dari pekan Kapit selama tiga jam untuk pergi ke bandar terdekat, iaitu Sibu.

“Di sini juga ada tiga sekolah menengah dan beberapa sekolah-sekolah lain tapi tiada jalan yang sempurna.

“Sudah tentu jika ada laluan darat, perhubungan akan lebih pantas dan penduduk mempunyai pilihan,” katanya lagi.

N63 Bukit Goram terletak dalam kawasan Parlimen Kapit dan bersebelahan dengan dua lagi kerusi DUN yang ditandingi DAP, iaitu N62 Katibas dan N61 Pelagus.

Bukit Goram yang merupakan kawasan majoriti Dayak-Iban adalah salah satu daripada 11 kawasan DUN baru di Sarawak. Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan untuk pilihanraya Sarawak kali ini. – Roketkini.com