Berita

Calon DAP Kedup mahu jadi ‘Yang Bekerja’, benar-benar bela golongan miskin

SERIAN, 28 APRIL: Berasal dari keluarga miskin, calon DAP bagi kawasan N22 Kedup, Andrew Nyabe, sedar betapa pentingnya usaha membela nasib golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang tinggal di pedalaman.

Beliau bertekad untuk bekerja keras demi membela nasib penduduk Kedup yang selama ini terpinggir jika berjaya menang pilihanraya Sarawak kali ini.

Bekas guru itu berkata, masih banyak masalah kemudahan asas yang belum diselesaikan seperti isu bekalan air, jaringan jalan dan telekomunikasi di daerah itu sehingga menyukarkan masyarakat dari mengecapi kemajuan ekonomi dan sosial.

“Walaupun sudah 53 tahun Sarawak merdeka, kita masih bercakap tentang bekalan air, jalan, hak tanah, kekurangan kemudahan pendidikan dan pembangunan masyarakat. Tidak berubah dari dulu.

“Oleh itu, saya benar-benar berazam bahawa jika saya dipilih mewakili rakyat di Kedup, saya akan menjadi Yang Bekerja dan bukannya Yang Berhormat. Masyarakat di kampung mahu kita bawa kemajuan, perubahan dan aspirasi mereka. Dan ini yang kita perjuangkan,” katanya.

Jelas Andrew, keperitan hidup yang pernah dirasainya menjadi pendorong utama kepada penglibatan beliau dalam politik memandangkan beliau percaya ia merupakan cara terbaik bagi menyuarakan hak rakyat di seluruh negeri Sarawak dengan lebih efektif.

“Saya datang dari keluarga Dayak-Bidayuh yang sangat miskin dari Ulu Sadaong dan telah melalui pelbagai jenis kesusahan hidup – pernah bekerja di sawah padi, memotong rumput dan membersihkan longkang pada hujung minggu semata-mata untuk mendapat sedikit wang semasa di sekolah.

“Jadi, saya benar-benar faham beban hidup yang dialami penduduk di sini. Saya yakin, hanya dengan melahirkan kerajaan yang telus, bertanggungjawab dan bebas rasuah, masyarakat dapat hidup senang,” katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya itu berkhidmat sebagai guru untuk lima tahun sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak selama 10 tahun – tempoh di mana beliau meraih pengalaman dalam bidang pengurusan.

Selain itu, beliau turut menjadi ahli Lembaga Pengarah dalam pelbagai organisasi kerajaan yang memberi fokus kepada meningkatkan taraf hidup dan kebajikan masyarakat Sarawak.

Tidak hairanlah apabila Andrew terkenal sebagai pejuang hak yang berani bersuara di kalangan masyarakat Dayak, lebih-lebih lagi apabila beliau tegas menuntut agar keturunan Dayak tidak dilabel sebagai ‘lain-lain’ oleh kerajaan.

Dalam pilihanraya 7 Mei ini, beliau bakal berentap dalam perlawanan tiga penjuru bersama penyandang DUN Kedup dari BN, Martin Ben dan calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Mark Murau Sumon.

Kedup, sebuah kawasan yang tertumpu kepada ekonomi berasaskan pertanian itu mempunyai 10,370 bilangan pengundi yang terdiri daripada 77.1 peratus orang Bidayuh, orang Iban (14.3 peratus), kaum Cina (7.1 peratus), orang Melayu dan Melanau (0.9 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus). – Roketkini.com