Berita

Janji bina hospital, klinik tapi apa pun tiada. Masih mahu undi BN?

BAU, 5 MEI: Tiga tahun lalu semasa pilihanraya umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional telah berjanji untuk membina tiga hospital baharu di Sarawak, iaitu di Sri Aman, Petra Jaya dan Lawas. Namun, sehingga ke hari ini, ia masih tidak dibina.

Kali ini, BN kembali memainkan isu sama dalam kempen pilihanrayanya apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, baru-baru ini membuat kenyataan bahawa ketiga-tiga hospital itu akan dibina bermula tahun ini.

Calon DAP bagi kawasan DUN N02 Tasik Biru, Mordi Bimol, menyelar tindakan BN itu malah menganggap janji-janji yang dibuat BN cuma ditabur semasa pilihanraya untuk memperbodohkan rakyat agar terus mempercayai BN sebagai satu-satunya parti untuk mereka.

Jelasnya, perkara sama berlaku di Tasik Biru apabila janji BN untuk membina klinik Ibu dan Bayi Stungkor dan menaiktaraf kemudahan di Hospital Daerah Bau sejak 12 tahun lepas masih tidak dikotakan.

“Tanah bagi pembinaan klinik di Stungkor telah dikenalpasti dan diluluskan pada tahun 2004 oleh kerajaan negeri, tetapi tiada tindakan lanjut diambil.

“Sudah masuk 12 tahun dan penduduk Tasik Biru masih menunggu sebuah Klinik Kesihatan Stungkor yang keadaan tanahnya seperti hutan, terbiar tanpa apa-apa pembinaan.

“Adakah klinik itu akan dibina atau tidak? Jika ia akan dibina, bila?

“Sudah tiga pilihanraya umum, iaitu pada 2004, 2008 dan 2013 serta tiga pilihanraya negeri pada 2006, 2011 dan 2016 berlalu, tetapi tapak klinik itu kekal sebagai semak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Mordi, sikap sambil lewa kerajaan BN dalam membina klinik itu jelas membuktikan bahawa kesihatan penduduk di Tasik Biru tidak menjadi keutamaan bagi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Sarawak dari BN.

“Berapa lama lagi kesihatan penduduk Tasik Biru hendak dipermainkan dan digadaikan oleh kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem?

“Adakah semua menteri Kabinet, ahli Parlimen dan Adun BN Sarawak akan menghantar ahli keluarga mereka yang memerlukan rawatan ke Hospital Bau dengan keadaan infrastruktur hospital itu yang begitu daif dan teruk?

“Jika tidak, bagaimana mereka boleh membiarkan rakyat Sarawak menghantar ahli keluarga mereka ke hospital yang tidak lengkap seperti itu?” katanya.

Sebelum ini, Mordi turut lantang menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk serta mendesak kerajaan mengotakan janji untuk projek sekolah di Kampung Apar dekat sini yang terbengkalai sejak 2011 sehingga ke hari ini. – Roketkini.com