Berita

Presiden PAS singgung perasaan rakyat Sarawak dengan isu kaum dan agama

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan sahaja bersikap tidak sensitif terhadap semangat muhibah rakyat Malaysia, malah menyinggung perasaan rakyat Sarawak apabila menegaskan partinya tidak mahu ‘menghalalkan’ orang bukan-Islam atau DAP memerintah Sarawak.

Mengikut laporan Malaysiakini yang menyediakan satu klip video ceramah, Hadi dilaporkan berkata PAS hanya mahu Sarawak diperintah oleh kaum Bumiputera dan bukan oleh kaum lain, dan Bumiputera itu mestilah yang beragama Islam sahaja.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Hadi telah menunjukkan sikapnya yang sebenar terhadap masyarakat bukan-Islam apabila menyatakan hanya orang Islam berhak memimpin Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, DAP sebagai parti pelbagai yang turut berjuang untuk orang Islam dan bukan-Islam tidak pernah menuntut supaya jawatan Ketua Menteri Sarawak diberikan kepada kaum Cina.

Namun, katanya, tidak ada sebab untuk DAP menolak pemimpin Bumiputera, sama ada Islam atau bukan-Islam, untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak.

“DAP amat kecewa dengan retorik melampau Presiden PAS di Kuching malam tadi dengan kenyataannya bahawa orang bukan-Islam Bumiputera atau orang Cina tidak boleh memimpin Sarawak.

“Kenyataan anti masyarakat bukan-Islam oleh Hadi bukan sahaja memecahbelahkan kesatuan rakyat tetapi juga menyinggung perasaan bumiputera bukan-Islam yang merupakan majoriti di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut laporan media yang memetik perangkaan Jabatan Statistik pada 2014, kaum Dayak – Iban, Orang Ulu, Bidayuh dan kaum-kaum lain – yang majoritinya beragama Kristian mewakili 45.4 peratus penduduk Sarawak, diikuti dengan Melayu (24.4 peratus) yang hampir sama ramai dengan Cina (24.2 peratus), dan Melanau (5.4 peratus) serta kaum lain (0.06 peratus).

Menegaskan kenyataannya, Guan Eng berkata, DAP juga menerima hakikat bahawa Perdana Menteri Malaysia dipilih daripada kalangan orang Melayu yang mencerminkan majoriti populasi rakyat Malaysia.

“Tetapi mengapa pula Hadi tidak boleh menerima Bumiputera bukan-Islam menjadi Ketua Menteri Sarawak sedangkan mereka merupakan majoriti di Sarawak?” soal beliau. – Roketkini.com