Berita

DAP pertahan tujuh kerusi, hilang lima, tak putus asa berjuang untuk Sarawak

KUCHING, 8 MEI: DAP hanya mampu mempertahankan tujuh daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dimenanginya sebelum ini dalam pilihanraya Sarawak.

Tujuh kerusi tersebut adalah Kota Sentosa, Pelawan, Bukit Assek, Pujut, Padungan, Pending dan Tanjong Batu (nama lama Kidurong).

Lima kerusi DAP yang dirampas semula oleh Barisan Nasional adalah Piasau, Batu Kawah, Meradong, Repok dan Dudong.

DAP bertanding di 31 kawasan DUN. Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan dalam pilihanraya Sarawak kali ini.

Mengulas prestasi DAP dalam pilihanraya itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata DAP tidak perlu takut tewas kerana kekalahan yang dialami itu boleh menjadi pengajaran untuk terus berjuang.

“Ujiannya…ialah kemampuan untuk tidak dihancurkan oleh ‘kekalahan teruk’ tetapi kemampuan untuk bangun daripada ‘kekalahan teruk’ bagi menjadi lebih kuat dan komited kepada perjuangan kita demi meneruskan perjuangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kit Siang gigih berusaha di Bumi Kenyalang tanpa henti sejak sepanjang kempen pilihanraya, termasuk di kawasan pedalaman, untuk membantu calon-calon parti.

Seminggu yang lalu, beliau telah membayangkan risiko yang dihadapi DAP apabila menyatakan secara terbuka bahawa tujuh daripada 13 kerusi yang dipecahkan melalui persempadanan semula daripada 12 kawasan DUN yang dimenangi DAP dalam pilihanraya negeri lalu berada dalam bahaya.

Kedudukan runcing terhadap tujuh kerusi tersebut, jelasnya, adalah berikutan kempen BN yang berasaskan kepada empat strategi, iaitu Kesan Adenan, Kesan Najib, politik wang, dan politik intimidasi dan takutkan pengundi.

Menurut Kit Siang, cara pilihanraya itu dikendalikan dengan tidak adil melalui persempadanan semula serta pelbagai taktik kotor BN memang boleh dijadikan alasan untuk menjelaskan sebab-sebab kekalahan DAP.

Namun, beliau menjelaskan hari ini bahawa DAP yang komited untuk membawa perubahan politik melalui proses demokratik harus bersedia untuk menghadapi kekalahan atau kemenangan yang ditentukan oleh peti undi.

“Walaupun gagal dan kecewa, ini tidak akan menghalang matlamat DAP untuk terus berusaha membawa wakil-wakil rakyat kita daripada kaum Cina, Dayak dan Melayu menduduki Dewan Undangan Negeri Sarawak,” ujar beliau.

Menurutnya, DAP terpaksa menunggu selama 18 tahun sebelum diterima rakyat untuk memasuki Dewan Undangan Negeri Sarawak, dan ia bersedia untuk sekali lagi merentasi jalan jauh bersama rakyat Sarawak yang berkongsi perjuangan dengan DAP untuk mencapai cita-cita membentuk kerajaan yang mesra rakyat, dan bukannya menjaga kepentingan kroni-kroni pemerintah.

Kit Siang turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Adenan Satem atas kemenangan BN Sarawak serta perlantikan sekali lagi sebagai Ketua Menteri.

Beliau turut berharap Adean benar-benar melaksanakan janji-janji ‘Team Adenan’ dan ‘gaya pentadbiran Adenan’ untuk Sarawak, dan bukannya pemerintahan ala Najib. – Roketkini.com