Berita

DAP sokong DBKL haram pembungkus polisterin, minta tempoh supaya semua pihak bersedia

KUALA LUMPUR, 9 MEI: DAP Wilayah Persekutuan mengalu-alukan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu mengharamkan penggunaan polisterin, iaitu sejenis bahan plastik pembungkus makanan dan minuman, di kawasan pelancongan utama Bukit Bintang.

Pembungkus polisterin adalah sampah kekal yang tidak akan lupus selama beratus, malah beribu tahun, serta melepaskan sisa toksik apabila dibakar atau dihancurkan.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, berkata walaupun pihaknya menyokong cadangan itu, pihak berkuasa perlu memastikan langkah itu benar-benar dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara sistematik.

Pada masa yang sama, katanya, DBKL juga perlu bertindak adil dengan menghadkan botol air plastik yang seperti mana polisterin turut merupakan sampah kekal yang sukar dilupuskan serta menyebabkan saliran air dan sungai tersumbat lalu menjejaskan ekosistem.

“Meskipun DBKL mendakwa bahawa Bukit Bintang akan menjadi tempat kedua selepas Dataran Merdeka yang sejak Julai tahun lalu telah mengharamkan penggunaan pembungkus polisterin, tidak ramai yang tahu tentang pengharaman tersebut di kawasan Dataran Merdeka.

“Perlu bagi DBKL mendirikan papan tanda yang jelas di kawasan Bukit Bintang bagi memaklumkan orang ramai dan para pelancong tentang larangan ini serta apakah denda yang akan dikenakan.

“Jika tidak, larangan ini hanyalah ‘sembang kencang’ semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, DBKL juga perlu memastikan wujud kerjasama daripada semua pihak, termasuk pengusaha gerai, restoran dan penjual bagi melaksanakan peraturan itu secara berkesan.

Menurutnya, DBKL boleh mempertimbangkan untuk memberi diskaun atau pengecualian yuran lesen niaga bagi peniaga yang terkesan dan bekerjasama melaksanakan peraturan tersebut.

Tambah beliau, DBKL juga perlu memberi tempoh ehsan (grace period) sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memberi ruang penyesuaian bagi semua pihak berkaitan.

“Saya juga berharap polisi yang sangat bagus ini dilanjutkan ke kawasan-kawasan lain termasuk Mont Kiara dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dalam tempoh setahun selepas ia dilaksanakan di Bukit Bintang. dan mana-mana kawasan lain dalam tempoh setahun yang seterusnya.

“Projek ‘River of Life’ di Kuala Lumpur tidak akan menjadi kenyataan sekiranya botol plastik dan bekas polisterin dibuang secara sesuka hati ke sungai dan tali air sekitar ibu negara,” ujar beliau.

Menurutnya, DAP menyokong usaha kerajaan jika benar-benar serius mahu menjadikan Kuala Lumpur bandar hijau peka alam sekitar yang bebas polisterin dan bersih, seperti Pulau Pinang. – Roketkini.com