Berita

MATTA perlu kemuka bukti Kuala Lumpur bandaraya selamat, boleh bantu tingkat industri pelancongan

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Hamzah Rahmat, perlu menyertakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa Kuala Lumpur adalah salah satu bandaraya paling selamat untuk didiami dan dilawati.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata dakwaan Hamzah tersebut tidak disertakan dengan sebarang statistik atau hasil kajian sebagai sokongan, justeru, ia sukar untuk dipercayai oleh mana-mana pihak.

Katanya, kenyataan Hamzah itu semata-mata untuk membalas hujah seorang pakar perunding pelancongan di Persidangan Pelancongan Bandar Global 2016 yang mendakwa bahawa Kuala Lumpur merupakan antara bandar paling berbahaya di Asia.

Bert van Walbeek dari firma perunding pelancong The Winning Edge dilaporkan media memetik  laman web worldatlas.com yang meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar kedua paling berbahaya di Asia atas alasan mempunyai kadar jenayah yang tinggi, termasuk kes ragut serta jenayah berat seperti pembunuhan, rogol dan rompakan.

Sehubungan itu. Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta MATTA dan ahli-ahlinya untuk mendapatkan maklumbalas profesional bagi menjalankan soal selidik ke atas sekurang-kurangnya 1000 warga ibu kota dan pelancong.

“Ia boleh membantu MATTA mengetahui pendapat orang ramai sama ada mereka berasa selamat atau tidak hidup di Kuala Lumpur,” katanya.

Melalui hasil maklumbalas berkenaan, jelas beliau, MATTA boleh menyakinkan pihak berkuasa termasuk polis, Datuk Bandar, malah Kementerian Pelancongan, tentang langkah yang perlu diambil bagi menambah baik aspek keselamatan dan imej ibu negara.

Dengan kejatuhan harga minyak serta pelbagai skandal seperti 1MDB melibatkan kerajaan, tambahnya, sektor pelancongan amat penting bagi memangkin ekonomi negara yang sedang merudum.

“Oleh itu, MATTA berperanan besar dalam membaiki sektor pelancongan dan membantu menyelamatkan ekonomi negara dengan menjalankan kajian yang telus berhubung perkara itu,” katanya.

Lip Eng menambah bahawa selepas kenyataan van Walbeek dan Hamzah, komen-komen di laman berita Malaysiakini yang melaporkan kenyataan Hamzah rata-rata menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak boleh dipercayai.

“Jadi, siapa sebenarnya yang bercakap benar? Hamzah atau van Walbeek? Adakah Kuala Lumpur benar-benar merupakan bandar yang selamat untuk didiami dan menjadi pusat pelancongan?

“Sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, ia merupakan tanggungjawab saya untuk mengetahui perkara ini serta menjelaskannya kepada warga kota dan rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com