Berita

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar: DAP sokong calon Pakatan Harapan

GEORGE TOWN, 13 MEI: DAP akan menyokong mana-mana calon yang disetujui pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil (PKR) kawasan Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar di Perak yang akan diadakan serentak 18 Jun depan.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perbincangan untuk memutuskan siapa yang bakal menjadi calon di kawasan berkenaan akan terus diadakan bersama pimpinan PH.

“Sudah tentu kita akan sokong calon yang diputuskan oleh Pakatan Harapan. DAP akan sokong calon yang diputuskan Pakatan Harapan.

“Kita akan terus adakan perbincangan bukan sahaja dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, tetapi yang penting sekali ialah dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali,” katanya kepada pemberita selepas sesi pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Dua kerusi Parlimen itu kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak Khamis minggu lalu yang turut melibatkan empat lagi individu.

Parlimen Sungai Besar memiliki 42,655 pengundi berdaftar manakala bagi Parlimen Kuala Kangsar, terdapat seramai 32,949 pemilih berdaftar.

Dalam pilihanraya umum ke-13 lalu, calon Barisan Nasional (BN) telah menewaskan calon PAS dengan majoriti tipis 399 undi bagi Parlimen Sungai Besar. Bagi Parlimen Kuala Kangsar pula, calon PAS dan Bebas ditewaskan BN dengan majoriti 1,082 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat khasnya hari ini telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, dan hari pengundian 18 Jun, manakala tarikh pengundian awal pula ialah pada 14 Jun. – Roketkini.com