Berita

Selepas lombong bauksit cemar alam sekitar, Pahang hadapi lombong emas haram pula

KUANTAN, 18 MEI: DAP menggesa kerajaan negeri Pahang menyiasat segera aduan perlombongan emas secara haram yang didakwa berlaku dalam Hutan Simpan Lakum, Kuala Gandah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Lanchang.

Ketua Pembangkang, Tengku Zulpuri Shah, yang membuat gesaan itu sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini semalam mendedahkan bahawa berdasarkan lawatan beliau ke lokasi berkenaan, terdapat banyak lubang yang telah dikorek selain saluran paip dan struktur yang dibina daripada kayu.

Beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan sama ada ia telah mengeluarkan lesen perlombongan emas di kawasan Hutan Simpan Lakum yang berhampiran dengan kawasan perlindungan gajah di Kuala Gandah.

Menurut Adun Mentakab itu, isu tersebut diketahui setelah menerima aduan dari masyarakat Orang Asal berdekatan yang tidak selesa dengan aktiviti lori keluar masuk kampung mereka membawa tanah yang dipercayai mengandungi emas selain menyebabkan kerosakan jalan.

“Untuk mengelakkan sebarang andaian dan fitnah, pada 11 Mei baru-baru ini kami telah pergi secara mengejut ke lokasi berkenaan tetapi kedatangan kami mungkin telah dihidu pihak terbabit. Tiada sebarang aktiviti atau orang bekerja semasa kami tiba,” jelas Tengku Zulpuri.

Beliau berkata, jika sekalipun kawasan tersebut memiliki emas yang banyak dan kerajaan negeri ingin memajukannya, ia perlulah dilihat dari pelbagai sudut dan kajian demi kepentingan seluruh rakyat Pahang dan generasi akan datang.

“Perlulah jaga alam sekitar dan punca rezeki serta penempatan Orang Asal. Ambil kira kaedah perlombongan yang selamat, jangan gunakan sianida,” ujarnya.

Justeru, beliau mahu supaya perkara ini disiasat segera supaya perlombongan emas haram itu tidak merebak seperti isu bauksit yang menjadi bencana besar kepada rakyat di Kuantan sebelum ini.

Sebelum ini, Tengku Zulpuri telah beberapa kali menegur kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan yang culas menjalankan tanggungjawab walaupun berkuasa untuk menghentikan perlombongan bauksit di negeri itu

Sedangkan, katanya, pihak pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar dan polis, selain membangkitkan isu bauksit yang mencemar alam sekitar pada sidang DUN Pahang. – Roketkini.com