Berita

Tony Pua: Azalina tipu, anggota PAC tak tahu perenggan laporan dibuang

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman, telah menipu apabila mendakwa bahawa anggota-anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah diberitahu lebih awal mengenai laporan akhir PAC tentang 1MDB telah diedit.

Beliau yang juga anggota PAC berkata, Azalina berbohong kerana beliau (Tony) serta anggota PAC lain terkejut apabila laporan akhir PAC yang dibentangkan pada 7 April lalu di Parlimen tidak memuatkan dua perenggan penting berkaitan syarikat sarat hutang itu.

Menurutnya, Azalina dalam jawapannya di Parlimen kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, telah berkata: “Untuk makluman, semua anggota PAC telah dimaklumkan mengenai perkara ini melalui surat Pengerusi PAC kepada Timbalan Gabenor Bank Negara bertarikh 6 April.”

Selain itu Azalina juga menyatakan: “Pengerusi PAC (Datuk Hasan Arifin) menerima maklumat daripada Bank Negara Malaysia yang menyatakan bahawa segala maklumat yang diberi adalah berstatus ‘sulit’ bagi tujuan risikan sahaja dan bukan untuk kegunaan mahkamah atau laporan awam.”

Tony menjelaskan bahawa Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, tidak menghubungi mana-mana anggota PAC untuk menjelaskan tentang apa-apa perkembangan terbaru selepas mesyuarat terakhir PAC pada 4 April lalu.

Beliau telah mendedahkan bulan lalu bahawa Hasan telah membuang beberapa perenggan penting dalam laporan akhir PAC.

Antara perenggan yang dibuang adalah surat penjelasan Bank Negara kepada PAC yang menjelaskan bahawa Good Star Limited – penerima dana US$1.03 bilion daripada 1MDB untuk pelaburannya (Good Star) dengan PetroSaudi International Limited – adalah “sebuah syarikat yang dimiliki seorang individu yang tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi International”.

Menurut Tony, perenggan yang dibuang itu jelas menunjukkan kes penyalahgunaan dana oleh 1MDB yang membuktikan tuduhan-tuduhan terhadap 1MDB oleh The Wall Street Journal, The Edge, The Sarawak Report dan pembangkang, adalah benar.

“Persoalannya ialah apakah isi kandungan surat bertarikh 6 April itu yang sangat ‘sulit’ dan tidak boleh didedahkan kepada umum?

“Apa yang lebih penting adalah, bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Azalina) boleh tahu tentang surat daripada Timbalan Gabenor Bank Negara kepada Pengerusi PAC yang bertarikh 6 April itu sedangkan anggota-anggota PAC tidak tahu apa-apa mengenainya?” soal beliau.

Sehubungan itu, Tony mempersoalkan sama ada wujud kolusi di antara Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi PAC untuk menutup skandal tersebut dengan sama-sama menyediakan jawapan bagi melepaskan Hasan daripada tuduhan salah guna kuasa. – Roketkini.com