Berita

Rakyat berhak tahu jumlah ‘cukai minyak’ yang disembunyikan kerajaan

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Rakyat selaku pembayar cukai berhak mengetahui jumlah cukai yang dikutip oleh kerajaan, termasuk ‘cukai minyak’, iaitu lebihan di antara harga runcit petrol dan diesel dengan harga sebenar yang mula dikutip sejak tahun 2014.

Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, menggesa agar kerajaan berhenti berdolak-dalik berhubung perkara berkenaan dan menyatakan jumlah keuntungan yang dikaut melalui cukai tersembunyi itu.

“Pada mesyuarat Parlimen kali ini, saya telah meminta kerajaan menyatakan jumlah sebenar ‘cukai minyak’ yang dikutip sejak sistem apungan terkawal (managed float system) diperkenalkan dua tahun lalu.

“Malangnya, jawapan yang saya terima dari Menteri Kewangan pada 17 Mei lepas sekadar berdolak-dalik dan tidak menjawab soalan yang diutarakan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pagi ini.

Menurut Zairil, Menteri Kewangan menyatakan bahawa sistem apungan terkawal yang dilaksanakan menggunakan purata bulanan perubahan kos produk petroleum dan kadar pertukaran mata wang ringgit dengan US dolar dalam bulan sebelum untuk menentukan harga pada bulan berikutnya.

Di samping itu, katanya, Menteri menerangkan bahawa subsidi atau lebihan akan terhasil disebabkan turun naik (volatility) harga minyak dan kadar pertukaran mata wang dalam pasaran.

Malah, beliau menjelaskan, Menteri Kewangan mengakui bahawa lebihan akan berlaku apabila harga runcit yang ditetapkan untuk minyak lebih tinggi daripada harga sebenar dalam bulan semasa, dan subsidi berlaku apabila harganya lebih rendah.

“Oleh itu, ia jelas menunjukkan bahawa memang berlaku kesenjangan antara harga runcit dan harga sebenar. Apabila harga runcit adalah lebih tinggi, kerajaan akan mengaut keuntungan dalam bentuk lebihan, atau juga dipanggil sebagai cukai minyak.

“Tetapi, apabila ditanya tentang jumlah cukai minyak, Menteri seolah-olah memperlekehkan soalan yang diutarakan dengan menyatakan bahawa isu cukai minyak tidak berbangkit dan kesenjangan harga runcit dengan harga sebenar itu hanya faktor penyelarasan semata-mata,” katanya.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan jumlah cukai tersembunyi yang dikaut kerajaan, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera meminta kerajaan agar memberi jawapan terperinci kepada parlimen dan rakyat tentang isu cukai minyak tersebut.

“Sudahlah rakyat dibebani dengan cukai GST, kini kita juga terpaksa menanggung cukai minyak,” katanya. – Roketkini.com