Rencana

Kiasan ‘arak’ Nik Abduh kurang ajar

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz nampaknya telah sempat mempelajari taktik maki hamun dan dakwaan kotor UMNO setelah bertunang dengan UMNO untuk suatu tempoh kurang daripada setahun selepas tamatnya era Pakatan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, Nik Abduh dilaporkan telah membuat dakwaan dalam suatu sidang media sempena Muktamar Pemuda PAS di Kota Bahru iaitu:

“Siapa yang memecahkan PAS sampai sesetengah ahli PAS mabuk pindah jadi AMANAH? DAP yang bagi arak sehingga mereka tubuhkan AMANAH.”

Ini merupakan satu dakwaan yang angkuh, kurang ajar dan menunjukkan ketidak-adaban Nik Abduh. Lontaran tohmahan kosong dan fitnah tidak akan dilakukan oleh PAS yang dikenali oleh DAP semasa dalam era Pakatan Rakyat, biarpun terhadap musuh politiknya pada ketika itu, UMNO.

Malah, jelas setelah berulangkali mengesahkan kerjasamanya dengan UMNO pada masa kini, dan juga menjadi “penasihat” kepada UMNO, jangkitan politik UMNO yang selalu menuduh DAP sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam” telah mula merebak ke dalam kepimpinan Nik Abduh.

Apabila dipersoalkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangasaan DAP, Anthony Loke pada hari semalam berkenaan dengan dakwaan kerusi yang dipinjamkan oleh PAS, Nik Abduh telah menyatakan bahawa beliau sekadar menggunakan “bahasa kiasan”.

Nik Abduh haruslah bersikap tanggungjawab ke atas kenyataan dan dakwaan beliau dan beliau seharusnya membawa legasi mendiang Tuan Guru Nik Aziz yang disanjung tinggi oleh keseluruhan Rakyat Malaysia atas cara kepimpinan jujur Tuan Guru Nik Aziz.

Sama ada Nik Abduh akan sekali lagi akan cuba membela diri dengan mandakwa tohmahan beliau tentang “pemberian arak” itu juga sekadar penggunaan “bahasa kiasan” sahaja?

Janganlah Nik Abduh menghina penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan mencemarkan “bahasa kiasan” dengan unsur sikap dan hasrat yang kurang ajar dan berfitnah.

Nik Abduh harus menarik balik tohmahan beliau tersebut dengan segera, bukan untuk membersihkan namanya sendiri, tetapi demi memelihara atau mengekalkan sedikit kredibilii yang masih ada dalam PAS pada hari ini selepas selama 65 tahun dalam arena politik negara ini.

*Kenyataan Akhbar YB Wong Kah Woh, Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Kawasan Canning, pada 01.06.2016 di Kuala Lumpur.