Berita

PRK Sungai Besar: Pakatan Harapan pilih calon tempatan, pastikan suara rakyat ‘sampai’ ke Parlimen

SEKINCHAN, 2 JUN: Pakatan Harapan meletakkan Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur sebagai calon mereka untuk pilihanraya kecil Parlimen (P093) Sungai Besar pada 18 Jun nanti.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam majlis pengisytiharan calon Pakatan Harapan di Dewan Sri Sekinchan malam tadi.

Menurut Mohamad Sabu, Azhar merupakan calon yang paling sesuai mewakili pakatan politik itu dalam pilihanraya kali ini memandangkan beliau merupakan anak tempatan yang lebih memahami nasib dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk Sungai Besar.

“Sungai Besar merupakan kawasan berasaskan pertanian. Justeru, kita memilih seorang calon yang faham kehidupan petani, nelayan dan orang di sini.

“Sungai Besar memerlukan seorang wakil yang bukan setakat memahami, tetapi juga merasai penderitaan dan kesempitan hidup penduduk setempat supaya suara rakyat dapat bergema di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, berkata pilihanraya kecil Sungai Besar amat mustahak bagi menentukan masa depan negara, memandangkan kekalahan BN boleh menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hilang kepercayaan penyokongnya.

“Kita mesti tunjuk kepada Najib bahawa rakyat semakin muak terhadap pemerintahannya, lebih-lebih lagi dengan segala skandal melibatkan beliau, padahal rakyat semakin susah akibat dasar-dasar yang dikenakan.

“Oleh itu, saya berharap pengundi-pengundi di Sungai Besar dapat memilih wakil yang akan membawa masa depan yang lebih baik kepada Malaysia,” ujarnya.

Turut hadir di majlis pengumuman itu ialah Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat Umum AMANAH, Ahmad Awang, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Azhar, 51 tahun, yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Ustaz’ merupakan anak jati Sungai Besar dan kini menjalankan perniagaan sendiri.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu adalah pengarah urusan kepada beberapa syarikat seperti EZ Qurban Sdn Bhd, EZ Kembara Sdn Bhd, Minda Project Management Sdn Bhd, EZ Fada’ Sdn Bhd dan EX Career Sdn Bhd.

Beliau juga pernah menjadi penyelia Maahad Tahfiz Al-Mahmudi, Temerloh (2005-2006), guru penolong kanan di Sekolah Menengah Islam Puchong (1999-2003) serta guru Maahad Tahfiz Sungai Besar (1997-1998).

Selain itu, Azhar yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kuliah Hadis dan Pengajian Islam dari Jamiah Abi Bakr Islamiyah di Karachi, Pakistan berpengalaman mengendalikan program bersama stesen radio IKIM fm serta beberapa rancangan di TV9.

Malah, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pembantu Mufti Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja sekitar tahun 2003 hingga 2004.

Antara pencapaian beliau di peringkat antarabangsa ialah memperolehi Pingat Munisaraphoin di Kemboja pada tahun 2014 dan 2015 atas sumbangannya dalam kerja-kerja amal bagi membantu masyarakat Islam di sana.

Pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar akan diadakan setelah penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain. – Roketkini.com