Berita

DAP gesa Najib berhenti salah guna undang-undang untuk kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhenti menyalahgunakan badan kerajaan dan undang-undang untuk mengenakan tindakan terhadap pihak yang mengkritik beliau.

Kit Siang berkata, Najib seharusnya memulakan saman sivil kepada mana-mana pihak yang dirasakan telah menghina dan memalukan dirinya, dan bukannya menggunakan undang-undang jenayah untuk kepentingan peribadi.

Beliau turut menegaskan bahawa Najib perlu hentikan intimidasi terhadap aktivis dan pelukis grafik, Fahmi Reza yang kini disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 disebabkan lakaran imej Najib berwajah badut yang dijual dalam bentuk t-shirt.

“Apa yang harus ditekankan oleh Najib dan penasihatnya ialah mengapa wujudnya pasaran di kalangan masyarakat untuk baju lakaran badut itu, bukannya menyalahgunakan kuasa untuk menghentikan ia dari terus berlaku.

“Jika pihak kerajaan masih membantah perbuatan Fahmi selepas berbincang tentang perbuatan tersebut, barulah Najib ada hak untuk mengambil tindakan terhadap Fahmi.

“Itupun dengan memulakan saman sivil terhadapnya, bukan dengan menggunakan undang-undang jenayah,” katanya.

Sabtu lalu, Fahmi Reza bersama empat yang lain termasuk Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong dan pelukis Arif Rafhan Othman ditahan kerana menjual baju t-shirt #KitaSemuaPenghasut dengan wajah badut Najib di program KL Alternative Bookfest di Publika.

Mereka yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPPD) Sentul untuk siasatan lanjut dan dibebaskan semalam.

Fahmi dikenakan dua pertuduhan di bawah akta yang sama sebelum ini disebabkan lakaran imej Najib itu yang mendapat populariti meluas sehingga di peringkat antarabangsa serta menghiasi akhbar di pelbagai negara.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kejadian yang berlaku kepada Fahmi itu jelas membuktikan bahawa hak asasi dan kebebasan bersuara yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia semakin hilang ekoran disekat secara berleluasa oleh kerajaan pimpinan Najib.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulbaque yang lebih dikenali sebagai Zunar juga menghadapi sembilan pertuduhan yang boleh membawa kepada 43 tahun penjara, malah, ramai aktivis dan ahli politik pembangkang dikenakan pelbagai jenis tuduhan kerana mengkritik dasar kerajaan.

“Mampukah kerajaan UMNO-BN yang nampaknya semakin teruk menyalahgunakan kuasa mereka ini menjaga hak serta kebebasan rakyat, termasuk rakyat Kuala Kangsar dan Sungai Besar?” soalnya. – Roketkini.com