Berita

BN bimbang luluskan jambatan bebas tol kerana pentingkan kroni daripada rakyat

GEORGE TOWN, 10 JUN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh membina laluan ketiga yang hubungkan Bagan Ajam dengan Persiaran Gurney, dengan syarat kerajaan Persekutuan beri kelulusan untuk membina Jambatan Ketiga.

Namun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ragu-ragu sama ada kerajaan pimpinan UMNO BN itu sanggup membiarkan kerajaan negeri Pakatan Harapan berjaya melakukan sesuatu yang gagal dikecapi kerajaan Persekutuan.

“Kenapa kerajaan Persekutuan begitu bimbang mahu memberikan kelulusan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina Jambatan Ketiga sedangkan mereka tidak perlu membayar walau satu sen pun?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bukankah jika kerajaan negeri Pulau Pinang gagal membina Jambatan Ketiga yang bebas tol, BN boleh ketawakan kami kerana gagal menepati janji atau cakap tak serupa bikin.

“Atau adakah BN bimbang bahawa Pakatan akan berjaya membina jambatan bebas tol, sedangkan BN gagal melakukannya, bagi mempamerkan pembangunan berpusat rakyat berbanding pembangunan BN yang mementingkan kroni?” soal beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau membidas dakwaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengutuk rancangan kerajaan negeri untuk mengenakan tol ke atas terowong dasar laut yang sedang dirancang pembinaannya.

“Berbanding kerja membina jambatan, terowong memakan kos dua kali ganda. Kerajaan negeri tidak ada pilihan lain kecuali mengenakan tol untuk membiayai kos tinggi terowong dasar laut ini.

“Pun begitu, sekiranya kerajaan Persekutuan boleh memberi kelulusan kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan berbanding terowong, penjimatan yang diperolehi boleh digunakan untuk membiayai sebuah jambatan bebas tol,” jelas Guan Eng.

Laluan ketiga yang menghubungkan Seberang Perai Utara dengan pulau diperlukan demi pembangunan yang seimbang, memandangkan kedua-dua Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan masing-masing mempunyai jambatan.

Terowong dasar laut yang diuar-uarkan pembinannya merupakan rancangan jangka masa panjang yang akan dibina pada 2027 apabila jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua) dijangka sesak. – Roketkini.com