Berita

Azhar ikrar majukan industri kecil dan sederhana Sungai Besar

SEKINCHAN, 16 JUN: Pengusaha Melayu Bumiputera boleh berjaya dengan hasil usaha tulang empat kerat sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan.

Ini terbukti dengan kejayaan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini yang menjadi contoh kepada bakal usahawan dengan tekad dan azam berterusan.

Atas azam untuk mengembangkan perusahaan IKS, calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur  berjanji akan memberi perhatian dan bimbingan sewajarnya melalui Kerajaan Negeri Selangor untuk memperbanyakkan lagi industri tersebut.

“Pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) adalah sesuatu yang dekat dengan hati saya sendiri. Saya juga turut mempunyai usaha perniagaan kecil-kecilan dan memahami susah payah anak-anak Melayu membangunkan perniagaan demi kebaikan serta masa depan diri dan keluarga,” kata beliau.

Menurutnya, beliau tumpang berbangga dengan kejayaan anak Melayu Sekinchan yang telah membuktikan bahawa orang kampung tidak perlu merantau jauh untuk berjaya.

“Cukup dengan tekad yang kuat dan usaha yang gigih, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kita daripada mengecap kejayaan,” ujarnya semasa lawatan ke kilang dan pusat jualan MHP Enterprise di sini semalam.

Memuji kejayaan MHP Enterprise syarikat pengeluar produk makanan tempatan yang terkemuka dan stabil, beliau berkata kini syarikat itu boleh berbangga dengan kedudukannya.

Malah katanya, kejayaan IKS khususnya di Sungai Besar bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya golongan belia tanpa perlu berhijrah ke tempat lain.

“Berbekalkan keazamaan dan cita-cita untuk mewarisi perniagaan keluarga, dan dengan modal sekadar RM10 ribu, apa yang bermula sebagai perniagaan sayur-sayuran di pasar, berkat usaha dan kerajinan, MHP Enterprise boleh berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi,” puji Azhar. – Roketkini.com