Berita

Pilih wakil rakyat, bukan ‘wakil Najib’ – Tun Mahathir

SEKINCHAN, 17 JUN: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu calon yang bertanding di kedua-dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi wakil kepada rakyat di Parlimen dan bukannya menjadi ‘wakil Najib’.

Ini kerana katanya tugas hakiki menjadi wakil rakyat adalah untuk membawa suara dan masalah rakyat  ke Parlimen dan bukan menjadi ‘tukang angguk’ kepada ‘bos’ yang membawa mudarat kepada ekonomi serta urustadbir negara.

Selari dengan perjuangan Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau menyeru rakyat di sini memilih calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur bagi menggalas tanggungjawab tersebut mewakili rakyat di Sungai Besar.

“Apa akan jadi jika BN menang? Bila wakil BN (jadi Ahli Parlimen), apakah yang mula-mula mereka lakukan? Pertamanya, mereka akan tutup mulut. Jangan kata apa-apa tentang Najib. Kalau kritik, disumbatnya dedak ke mulut,” ujar beliau dalam majlis tandatangan Deklarasi Rakyat tambahan sebentar tadi.

Menurut Mahathir, sikap najib yang menjadikan ‘wang sebagai raja’ sudah cukup menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab, sekaligus bertentangan dengan sifat seorang pemimpin yang sepatutnya bersikap amanah dalam menjalankan tugas.

“Najib sendiri kata ‘cash is king’. Duit boleh beli apa sahaja. Dia anggap duit sudah cukup (untuk buat apa sahaja). Manusia, dia boleh beli bila dia percaya duit adalah raja.

“Dia (Najib) perlu banyak duit untuk beli penyokong. Maka dia perlukan banyak duit. Mana dia nak cari duit?” soal Mahathir.

Jamu dedak untuk tutup mulut

“Mula-mula dia tubuh Terengganu Investment Authority. Orang Terengganu ‘nampak’, tak bagi. Kemudian dia tubuhkan 1MDB-sebuah syarikat dengan modal RM1 bilion yang dapat pinjaman RM42 bilion atas jaminan kerajaan.

“Jadi, macam mana dia nak sogok? Akhirnya ada yang masuk dalam akaun peribadi kata tok Arab derma,” katanya.

Bagi mereka yang menegur tindakan Najib itu katanya, mereka diberikan dedak untuk menutup mulut mereka.

“Dulu ramai yang bersuara. Sekarang tak ada. Dedak diberi untuk kata ‘YA’,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Mahathir menyeru supaya pengundi di sini menolak calon yang ditawarkan Najib pada pilihanraya kali ini dengan memberi sokongan penuh terhadap calon ‘Deklarasi Rakyat’ iaitu calon Pakatan Harapan.

Ini adalah kali kedua Mahathir turun ke Sungai Besar untuk menyokong calon Pakatan Harapan. Beliau turut mengadakan kempen yang sama di Kuala Kangsar, semalam.

Selain Mahathir, turut hadir adalah; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan beberapa wakil dari UMNO dan badan bukan kerajaan.

Dalam majlis yang sama mereka turut menandatangani Tuntutan Rakyat  yang mengetengahkan lapan persoalan terbaharu melibatkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM4.6 bilion Najib. – Roketkini.com