Berita

Pakatan Harapan perlu strategi baru hadapi PRU, elak ulangi kelemahan PRK

KUALA KANGSAR, 23 JUN: Pakatan Harapan perlu mengatur semula strategi baru bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 akan datang jika mahu peristiwa kekalahan blok pembangkang dalam Pilihanraya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak berulang.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata, situasi pertembungan tiga penjuru di Sungai Besar dan empat penjuru di Kuala Kangsar amat merugikan blok pembangkang dan kelemahan seumpama itu harus diakui semua pihak.

“Barisan Nasional pula akan mengambil kesempatan untuk memperoleh kemenangan daripada kelemahan ini.

“Sudah tiba masa untuk pihak pembangkang mengadakan rundingan dan kerja-kerja sepakat jika benar-benar berhajat untuk menumbangkan BN.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu menambah, kemenangan BN dengan cara yang jijik dan kekalahan Pakatan Harapan dengan rasa terhormat adalah difahami oleh penyokong-penyokong Pakatan Harapan.

“Perjuangan Pakatan Harapan tidak akan berhenti dengan kekalahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama dengan calon Pakatan Harapan, Prof. Dr. Ahmad Termizi serta kepimpinan yang lain mengunjungi pengundi di kawasan di sekitar pekan Kuala Kangsar dan Kampung Baru Jerlun untuk mengucapkan terima kasih, petang semalam.

Mengikut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK P093 Sungai Besar, Calon Amanah, Azhar Abdul Shukur berjaya memperoleh 7,609 undi, diikuti calon PAS, Dr. Abdul Rani Osman dengan 6,902 undi.

Calon UMNO BN di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mengekalkan kerusi yang disandang dengan 16,800 undi, sekaligus meraih 9,191 majoriti undi.
Bagaimanapun, di P067 Kuala Kangsar, Calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang memperoleh 4,883 undi hampir mengatasi calon PAS, Dr. Najihatussalehah Ahmad (5,684).

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid memperolehi 12,653 undi dan menang dengan majoriti 6,969 undi. Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 54 undi.
PRK Kuala Kangsar mencatatkan peratusan keluar mengundi hanya 71.4 peratus berbanding 84.3 peratus semasa PRU13. – Roketkini.com