Berita

DAP cadang tiga pembaharuan, kecilkan Kabinet agar lebih cekap

KLUANG, 27 JUN: Sempena pengumuman rombakan Kabinet pada petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menggunakan peluang berkenaan untuk membuat perubahan menyeluruh ke atas struktur Kabinet yang dilihat tidak cekap.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata antara pembaharuan yang harus dilaksanakan oleh Najib ialah mengurangkan bilangan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada sembilan yang ada pada hari ini kepada lima orang sahaja.

Ujar Chin Tong, dengan ketiadaan Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, tidak ada menteri baru yang harus ditambah kepada Jabatan Perdana Menteri.

Malah, beliau berkata, ramai menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini harus ditukarkan ke portfolio lain bagi memastikan sistem Kabinet benar-benar padat dan berfungsi tanpa sebarang pertindihan kuasa dan pembaziran peruntukan.

“Memandangkan Paul Low tidak dapat memberi banyak sumbangan sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap integriti dan anti-rasuah, saya mencadangkan agar beliau bersara daripada Kabinet.

“Panglima-panglima perang UMNO seperti Shahidan Kassim dan Azalina Othman pula sesuai dijadikan ahli jawatankuasa parlimen, tetapi bukannya mempunyai jawatan dalam Kabinet.

“Manakala, pemimpin parti komponen BN seperti Mah Siew Keong, Wee Ka Siong, Joseph Kurup dan Joseph Entulu patut ditugaskan untuk menerajui kementerian dan bukannya dibiarkan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tugas yang amat terhad,” katanya.

Selain itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP mencadangkan agar Perdana Menteri tidak lagi memegang portfolio Kementerian Kewangan dan menyerahkannya kepada seorang menteri sepenuh masa yang lebih berkaliber.

Jelasnya, krisis 1MDB merupakan petunjuk jelas bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak harus dipegang oleh orang yang sama, malah, kelembapan ekonomi global memerlukan Menteri Kewangan sepenuh masa yang cekap dan bertanggungjawab.

“Saya tidak fikir Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah sesuai menerajui Kementerian Kewangan. Bagi saya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed adalah calon yang lebih sesuai,” katanya.

Pembaharuan ketiga pula, jelasnya, adalah mengurangkan bilangan menteri Kabinet dan kementerian memandangkan hampir semua negara demokrasi lain mempunyai Kabinet yang bersaiz lebih kecil.

“Contohnya, kita hanya memerlukan satu kementerian berhubung isu pendidikan dan bukannya dua (pendidikan dan pengajian tinggi). Perpecahan ini tidak perlu dan merumitkan.

“Kita juga hanya memerlukan satu Kementerian Perdagangan dan bukannya dua (perdagangan antarabangsa dan domestik) sehingga menyebabkan penyelarasan dasar menjadi mustahil.

“Perkara sama juga untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Mereka patut digabungkan menjadi satu,” katanya.

Perdana Menteri dijangka akan membuat pengumuman mengenai rombakan kabinet menerusi sidang akhbar khas di Jabatan Perdana Menteri pada jam 3.15 petang ini. – Roketkini.com