Berita

Solidariti DAP bersama warga kota protes pembangunan Taman Bukit Kiara

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Warga kota yang rata-rata terdiri daripada penduduk kediaman Taman Tun Dr Ismail (TTDI) turun berhimpun semalam membantah pelaksanaan projek pembangunan kondominium di Taman Rimba Kiara.

Ramai yang hadir daripada pelbagai lingkungan usia turut membawa pelbagai plakad dan kain rentang tertera kata-kata membantah perlaksanaan projek berkenaan yang didakwa bakal mengakibatkan kepupusan taman hijau di sini.

Turut hadir menyatakan solidariti bersama penduduk ialah Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng.

Beliau yang ketika dihubungi Roketkini.com berkata, protes berkenaan dilakukan demi satu objektif kolektif iaitu supaya Taman Rimba Kiara tidak dicemari dengan pembangunan.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut meluahkan rasa kesal dengan sikap Datuk Bandar Kuala Lumpur yang didakwa enggan turun untuk bertemu dengan Persatuan Penduduk TTDI berhubung projek berkenaan.

Ini merupakan kali kedua Lip Eng turun menyertai protes tersebut setelah protes yang sama diadakan pada 17 Jun yang lalu.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji akan bersama-sama bersolidariti dengan penduduk TTDI sehingga projek lapan blok kondominium 54 tingkat di sini dihentikan serta merta oleh pihak pemaju.

“Perkara ini juga adalah bukti pemimpin-pemimpin Barisan Nasional hanya berpihak kepada pemaju hartanah yang kaya raya dan tidak peduli perasaan orang awam,” tambahnya. – Roketkini.com