Berita

Dominasi UMNO bantutkan perjuangan hak tanah adat kaum Dayak

SIMANGGANG, 28 JUN: Kedudukan dan hak yang diperjuangkan kaum Dayak selama berpuluh tahun, terutama berkaitan isu tanah adat (NCR) dilihat tidak mungkin dapat diperkasa ekoran dominasi besar parti Melayu UMNO dalam Barisan Nasional.

Naib Pengerusi DAP Sarawak, Leon Jimat Donald berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing yang mendakwa hak kaum Dayak hanya dapat diperjuangkan “di dalam sistem” dan bukannya di pihak pembangkang.

Menurut Leon, James sebagai seorang Ahli Parlimen BN yang pernah menjawat jawatan Menteri Pembangunan Tanah Sarawak sendiri telah gagal memperjuangkan isu NCR kerana banyak kes baru dan lama berkaitan isu berkenaan sehingga kini masih belum diselesaikan.

“Justeru, saya berharap supaya parti-parti di negeri ini sedar bahawa sebenarnya BN tidak mampu mengubati isu-isu kaum Dayak dari dalam sistem (BN),” katanya kepada Roketkini.com.

Leon berkata, situasi pembangkang di Sarawak ketika James Masing menjadi pembangkang mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) tidak sama dengan situasi kini, di mana Pakatan Harapan sebagai gabungan pembangkang dilihat lebih ampuh menyuarakan hak kaum Dayak.

“Ketika itu semua kawasan yang diwakili kepimpinan PBDS tidak diberi bantuan yang sempurna oleh kerajaan BN Sarawak, dan keadaan itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi minda masyarakat, sekaligus mengakibatkan mereka merasa takut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Leon yang juga Pengerusi DAP Sri Aman turut melahirkan rasa kesal dengan sikap Barisan Nasional yang meminggirkan kaum Dayak selepas Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan kabinet semalam.

Malah, kata anak jati kaum Dayak itu, tindakan berkenaan membuktikan lagi dominasi yang kuat dari UMNO dalam Barisan Nasional.

“Setelah BN menang besar di Sarawak pada Pilihanraya Negeri yang lalu, mereka terus meminggirkan rakyat Sarawak daripada arus kepimpinan negara, sekaligus meminggirkan janji-janji yang pernah disuarakan.

“Sekurang-kurangnya jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi harus diberikan kepada Sarawak atau Sabah, kerana kepimpinan di kedua-dua negeri ini lebih memahami isu-isu yang berkaitan, malah memerlukan sentuhan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menarik perhatian rakyat, khususnya kaum Dayak di Sarawak supaya menyokong usaha-usaha yang dibawa parti nasional, khususnya DAP, dalam memperkasa pembangunan dan memelihara hak rakyat Bumi Kenyalang, sekaligus menolak parti yang hanya sekadar tahu menabur janji semata-mata. – Roketkini.com