Berita

Guan Eng tidak perlu letak jawatan Ketua Menteri, pentadbiran P. Pinang seperti biasa

GEORGE TOWN, 30 JUN: Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang yang bermesyuarat sebentar tadi sebulat suara memutuskan Lim Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang atau mengambil cuti daripada tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.

Sebaliknya mereka menyokong penuh segala usaha untuk membuktikan bahawa Guan Eng tidak bersalah kerana dua pertuduhan kononnya rasuah melibatkan Adun Air Putih itu jelas merupakan pertuduhan bermotifkan politik.

“Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang memberi jaminan bahawa operasi pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang akan berjalan seperti biasa dan tidak akan terjejas oleh pendakwaan tersebut.

“Kedua-dua pertuduhan terhadap Setiausaha Agung dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah pertuduhan tanpa asas dan merupakan pendakwaan bermotifkan politik,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Terlebih dahulu Guan Eng dalam sidang media menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mainan politik jahat dan kotor yang bertujuan menghancurkan reputasinya dan imej Pulau Pinang sebagai negeri yang paling bersih dan mempunyai tadbir urus yang di Malaysia.

“BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.

“Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara,” katanya. – Roketkini.com