Berita

Penahanan Guan Eng konspirasi berterusan burukkan pemimpin pembangkang

SHAH ALAM, 30 JUN: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menyifatkan penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah konspirasi berterusan dan bersungguh-sungguh untuk memburuk-burukkan ahli politik dari pembangkang.

Menyatakan keyakinan sepenuhnya terhadap pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang, penahanan itu juga kata Azmin dilihat tindakan terdesak yang mahu memperlekeh peribadi Ahli Parlimen Bagan itu dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya menyatakan kepada Guan Eng bahawa saya teguh di belakangnya pada masa yang sangat genting ini.

“Saya menyanjung usaha tidak terhingga beliau dalam melaksanakan reformasi Kerajaan Pulau Pinang sebagai teladan sebuah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan konsisten dalam melaksanakan tatakelola yang cemerlang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, perhatian luar biasa dan tindakan pantas dalam kes Guan Eng ini berbeza sama sekali dengan tindakan yang telah diambil setakat ini terhadap lambakan laporan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Walaupun penahanannya dilakukan dengan kehadiran peguam, tindakan demikian sekali lagi menimbulkan keraguan kita terhadap keadilan dalam proses siasatan serta objektiviti Peguam Negara dalam mengarahkan tindakan sebegini.

“Natijahnya, Kerajaan sekarang memikul beban di atas pundak mereka untuk membuktikan yang siasatan dan dakwaan jenayah ini bebas daripada sebarang campur tangan eksekutif,” jelas Azmin.

Ini katanya amat penting dalam sebuah negara demokrasi demi menghormati kedaulatan undang-undang.

Semalam, Lim Guan Eng di tahan dan dibawa  pihak SPRM meninggalkan pejabatnya di Komtar sekitar jam 6.30 petang selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, dengan jaminan berjumlah RM1 juta, setelah didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk pengurusan kes. – Roketkini.com