Berita

Urus tadbir Pulau Pinang diakui bersih, dapat pujian Transparency International

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan telah berkali-kali diakui pelbagai pihak di dalam dan di luar negara sebagai negeri yang mempunyai urus tadbir paling ‘bersih’ di Malaysia, ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, beliau yang sekian lama menolak rasuah dalam mentadbir negeri berkenaan pula ditahan dan dituduh melakukan rasuah.

“Semua sedia maklum bahawa kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mempunyai pentadbiran yang paling bersih di Malaysia. Kami dipuji oleh Transparency International. Negeri lain yang mana menerima pujian sedemikian?

“Dan setiap tahun laporan Ketua Audit Negara telah menamakan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mempunyai urus tadbir paling baik.

“Namun, pemimpinnya kini pula didakwa atas tuduhan rasuah, walaupun tidak ada bentuk faedah pun yang dapat dibuktikan daripada tuduhan berkenaan,” ujar Guan Eng pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Transparency International merupakan pertubuhan dunia yang mengepalai gerakan membasmi rasuah, mengeluarkan indeks rasuah yang menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan merit. – Roketkini.com