Berita

Rakyat Sarawak digesa sokong perubahan, lupakan janji manis BN

BINTULU, 9 JULAI: Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chiew Chin Sing berkata, kedudukan ‘selesa’ lebih 50 tahun Barisan Nasional memerintah Sarawak telah mengakibatkan kesan buruk yang berpanjangan ekoran tiada agen semak seimbang dalam memastikan kebajikan rakyat terbela.

Namun, dengan pertambahan kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sejak 10 tahun yang lalu, suara pihak pembangkang sedikit sebanyak telah memberikan tekanan yang hebat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri itu, tambahnya.

Justeru, katanya, pembangunan di Bumi Kenyalang sebenarnya bergerak seiring dengan kekuatan suara pihak pembangkang membela nasib rakyat di peringkat negeri mahupun nasional.

“Sudah terlalu lama BN memerintah. BN sebenarnya telah gagal memberikan pembangunan yang setimpal di Sarawak.

“Cuma akhir-akhir ini kita nampak ada sedikit pembangunan yang cuba dibawa. Tetapi itupun setelah pembangkang banyak memenangi kerusi DUN pada 2006 dan 2011, kemudian barulah BN rasa tertekan dan mengambil kira pandangan dan keperluan rakyat,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil yang dilaporkan media menyeru supaya rakyat Sarawak memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak dan BN kononnya demi kesinambungan pembangunan di negeri itu.

Malah Penguang turut meminta supaya rakyat negeri berkenaan bersabar kerana menurutnya pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua sebaliknya memakan masa yang lama.

“Rakyat sudah tidak boleh sabar lagi,” tegas Chin Sing yang juga Adun Tanjong Batu. “BN masih menggunakan sistem pemerintahan yang sama, masih mementingkan kroni,” tambahnya sebagai mengulas kenyataan itu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan Sarawak akan menunaikan janji-janjinya yang telah disuarakan ekoran kemenangan besar yang diperoleh BN pada PRN Sarawak yang lalu, beliau berkata tidak mungkin BN akan mengubah sistem pemerintahan sedia ada kerana sekali lagi berada di kedudukan yang selesa.

“Justeru, perlu ada perubahan secara menyeluruh dalam pentadbiran negeri, supaya cara dan sistem pemerintahan BN yang lama dapat diubah dengan sistem kerja yang baru demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – Roketkini.com