Berita

“Pasar Percuma”, citra sosialisme berjiwa rakyat

GEORGE TOWN, 14 JULAI: Tidak ramai dalam kalangan kita sedar betapa banyak barangan yang masih elok disimpan dan tidak digunakan di dalam rumah masing-masing. Lebih malang lagi jika barangan ini kemudiannya terbiar usang atau berakhir di tempat pelupusan sampah.

Program “Free market” atau ‘Pasar Percuma’ yang diadakan di Medan Selera Desiran Tanjung, Tanjung Tokong menjelang penghujung Ramadan lalu menjemput orang ramai untuk membawa barangan terpakai yang masih elok untuk diberikan kepada orang lain.

Tidak ada had barangan yang boleh disumbangkan dan tidak ada had barangan yang boleh diambil. Semuanya terpulang kepada pemberi dan penerima.

Program yang berlangsung antara jam 9 pagi hingga tengah hari ini merupakan kerjasama antara Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan Ahli Majlis MBPP Syerleena Rashid.

“Biasanya ‘free market’ adalah istilah kapitalis yg membawa maksud ekonomi berdasarkan keuntungan,

“Namun ‘Free market’ yang dianFree marketjurkan ini adalah usaha untuk memperkenalkan citra sosialisme yang berjiwa rakyat,” jelas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

“Ia sekaligus mencerminkan konsep sosial demokrasi yang menerima mekanisme pasaran bebas (free market) namun menumpulkannya dengan ciri-ciri sosialisme seperti kebajikan dan pengagihan harta secara saksama, tambahnya.

“Sudah jarang orang terfikir untuk memberikan sesuatu dengan percuma. Pasar Percuma ini bertujuan untuk menyebarkan rasa kasih sayang dan sikap positif,” ujar Syerleena ketika dihubungi.

“Ramai ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah datang berkunjung. Respon daripada penderma juga sangat menggalakkan,” katanya, menambah bahawa ada pasangan yang datang jauh dari Kulim untuk mendermakan barangan mereka.

“Ini langkah yang baik untuk mengembalikan rasa percaya kepada kemanusiaan,” tambahnya, yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Wanita.

Program yang julung kali diadakan ini telah berjaya menarik lebih seratus orang dari pelbagai latar belakang yang membawa pelbagai barangan untuk diberikan secara percuma kepada penduduk tempatan, termasuklah pakaian beraneka jenis, buku, permainan kanak-kanak, dan kelengkapan dapur termasuk pinggan mangkuk.

Pasar Percuma ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Cleaner, Greener Penang yang bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk saling berkongsi. – Roketkini.com