Rencana

‘Apa salahnya kembalikan mandat kepada rakyat?’ – Guan Eng

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution telah bertemu dengan saya di pejabat semalam, bersama Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, untuk membincangkan hal menjalankan Pilihanraya Negeri di Pulau Pinang.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat kami pada 18 Julai 2016 telah sebulat suara memutuskan bahawa sejak pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyalahgunaan kuasa yang amat teruk oleh BN telah menghakis demokrasi dalam negara, justeru perbincangan sulit harus diadakan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan tentang sama ada perlu atau tidak mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.

Pilihanraya negeri akan mengembalikan mandat kepada rakyat, untuk menghakimi penyalahgunaan kuasa BN yang menginjak-injak hak kita, serta membiak korupsi bertaraf dunia yang telah merosakkan ekonomi dan menyusahkan kehidupan rakyat Malaysia. Pilihanraya negeri Pulau Pinang bukanlah untuk menyelamatkan saya daripada dakwaan rasuah yang direka-reka BN terhadap saya.

Pimpinan DAP dan Pakatan Harapan percaya bahawa saya tidak bersalah dan dakwaan rasuah yang diada-adakan ini adalah konspirasi jahat untuk membunuh karakter dan kerjaya politik saya. Mereka telah memutuskan untuk menyokong saya sebagai Ketua Menteri dan tidak meletakkan jawatan ataupun bercuti kerana saya tidak mempunyai pengaruh ke atas proses siasaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tidak mempunyai kuasa untuk memecat Peguam Negara yang mendakwa saya serta saya tidak ada kait mengait dengan badan kehakiman.

Pun begitu, BN terus mempersoalkan kredibiliti, autoriti dan keabsahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang saya ketuai. Kalau Pakatan menang dalam pilihanraya negeri Pulau Pinang, dakwaan rasuah yang diada-adakan itu akan diteruskan dan BN akan terus gigih membunuh karakter saya. Mereka pun sudah memutuskan untuk memenjarakan saya.

Tetapi jika Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh terus berkhidmat sebagai kerajaan rakyat, walaupun saya ke penjara. Dengan kata lain, Pilihanraya Negeri ini ialah untuk membolehkan rakyat memutuskan jika mereka mahukan Kerajaan Negeri DAP-Pakatan Harapan di Pulau Pinang, dengan sepenuh kredibiliti, autoriti dan keabsahan, tidak kiralah apa pun terjadi kepada saya.

Bagi mendapatkan mandat baru ini, kami telah bertemu dengan pimpinan PKR pada 18 Julai 2016 di Kuala Lumpur dan juga Presiden Amanah, Mohd Sabu pada malam 19 Julai 2016 di Lapangan Terbang Subang. DAP tidak mahu mengikut contoh sesetengah pihak sebelum ini membuat keputusan bersendirian, dan percaya bahawa perlu perbincangan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan. Walaupun DAP boleh sahaja mengambil langkah serupa dengan membuat keputusan sendiri, DAP percaya akan perlunya sikap saling percaya. Kami percaya bahawa sebarang keputusan akhir perlulah sekurang-kurangnya dibahaskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Malangnya, perbincangan sulit dengan pimpinan PKR ini telah dibocorkan kepada media yang dikawal BN oleh kononnya sumber Pakatan Harapan untuk mensabotaj perbincangan ini. Saya telah menyampaikan kepada ketiga-tiga pemimpin PKR semalam, tentang rasa tidak senang parti terhadap kebocoran dari sumber dalaman ini, yang sengaja dilakukan oleh pemimpin Pakatan tersebut untuk memburukkan DAP.

Semangat kolektif dan perbincangan DAP untuk mendengar pendapat rakan-rakan, bukan sahaja memperlihatkan keterbukaan hati tetapi juga komitmen terhadap demokrasi. Kami tidak gentar membiarkan rakyat memutuskan perihal autoriti, kredibiliti dan keabsahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang saya ketuai. Kenapa pula salah mengembalikan mandat kepada rakyat?

Kenapa tidak salah bagi BN untuk enggan berhadapan pengundi untuk mendapatkan mandat baru apabila seluruh dunia sedang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka kerana korupsi di peringkat antarabangsa?

DAP juga kecewa bahawa meski kami memperlihatkan keterbukaan dengan mendengar pelbagai pendapat, banyak pula dakwaan tidak berasas dilemparkan kepada kami, yang meniru logik mengarut BN bagi menentang pilihanraya negeri. Walaupun wujud cubaan sabotaj oleh sumber dalam Pakatan, perbincangan akan diteruskan dalam semangat Pakatan.

Kami berharap supaya penjelasan ini dakan dapat menghentikan keghairahan media dan membuktikan bahawa DAP dan Pakatan Harapan tidak takut mempertaruhkan jawatan-jawatan kerajaan kami, dengan mengembalikan mandat kepada rakyat bagi membuat keputusan terakhir, selari dengan amalan demokrasi sihat. – Roketkini.com