Berita

Najib Razak dicabar segerakan Pilihanraya Umum ke-14 jika yakin tidak bersalah

GEORGE TOWN, 22 JULAI: “Saya cabar Perdana Menteri untuk mengadakan pilihan raya umum, sama seperti Pulau Pinang membincangkan kemungkinan pilihan raya mengejut, jika beliau fikir semua dakwaan itu direka-reka.”

Demikian cabaran dilontarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Datuk Seri Najib Razak, supaya rakyat dapat memberikan mandat kepada sebuah kerajaan baru selepas menilai skadal kewangan berkembar terbesar dalam sejarah negara melibatkan syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Cabaran tersebut dilontarkan setelah 1MDB dinamakan dalam tindakan sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika untuk menyita aset-aset bernilai US$1 bilion yang terkait dengan dakwaan pengubahan wang haram melibatkan syarikat sarat hutang tersebut.

“Kami berharap kita boleh mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum supaya rakyat boleh buat keputusan,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, pilihanraya negeri adalah satu cara untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, dalam kes Pulau Pinang, supaya mereka dapat memilih sama ada masih mahu DAP dan Pakatan Harapan untuk terus menerajui negeri itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Guan Eng berkata cadangan untul mengadakan pilihanraya ini bukanlah untuk menyelamatkan beliau.

“Pilihanraya ini adalah supaya rakyat dapat memutuskan jika mereka masih mahu DAP dan Pakatan Harapan terus bekerja untuk mereka,” ujarnya. – Roketkini.com