Berita

Ketepikan perbezaan politik, DAP Johor sedia beri kerjasama kempen ‘Food Bank’ bantu keluarga miskin

JOHOR BAHRU, 10 OGOS: DAP Johor mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam bahawa kerajaan negeri merancang untuk mengadakan kempen ‘Food Bank’ seperti yang telah dilaksanakan oleh parti itu sejak April lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, walaupun berlainan fahaman politik, DAP menyokong sebarang usaha kerajaan negeri yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, terutama dari golongan kurang berkemampuan. WIRA5715

Menurutnya, kerajaan negeri memainkan peranan bagi melaksanakan pelbagai dasar untuk membasmi kemiskinan, terutama apabila kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah mengurangkan banyak peruntukan dalam hal ehwal kebajikan masyarakat.

“Sejak dipilih menjadi Adun di Johor, saya berdepan dengan banyak kes kemiskinan sehinggakan sesetengah keluarga terpaksa hidup dalam kelaparan.

“Hampir setiap hari, pejabat saya menerima aduan daripada penduduk untuk memohon bantuan setelah ditimpa pelbagai masalah di luar jangkaan seperti kemalangan jalan raya atau dilanda penyakit,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Hong Pin yang juga merupakan IMG_5625salah seorang tenaga utama dalam program Food Bank di Johor berkata, sejak bulan Ogos, DAP telah berjaya membantu 35 keluarga kurang berkemampuan serta mengedarkan lebih 100 set makanan dengan bantuan dan sumbangan orang ramai.

Jelasnya, program itu dilancarkan bagi memberi bantuan sementara kepada keluarga-keluarga yang dilanda kemiskinan agar dapat mengurangkan beban mereka sementara mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi masalah tersebut.

“Oleh itu, walaupun saya berharap program ini dapat terus berjalan dengan kerjasama dan solidariti dari seluruh ahli masyarakat, saya juga mahu melihat keadaan sosio-ekonomi negara bertambah baik.

“Kerajaan harus melengkapkan jaringan keselamatan sosial dan perlindungan kepada golongan pekerja serta memberi jaminan dari segi dasar supaya golongan bawahan tidak lagi mengalami kesulitan sehingga terpaksa berlapar,” tegasnya. – Roketkini.com