Berita

Penang Forum sabotaj negeri sendiri, ancam status Warisan Dunia George Town

GEORGE TOWN, 15 OGOS: Tindakan badan bukan kerajaan, Penang Forum mengutus surat kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak supaya agensi itu menyemak semula status bandar ini sebagai Warisan Dunia UNESCO amat dikesali.

Surat bertarikh 23 Jun yang dikirim NGO terbabit ke ibu pejabat PBB di Perancis itu didakwa telah ditulis berdasarkan fakta yang tidak benar kononnya Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) akan membahayakan kawasan warisan.

Mengecam tindakan terbabit, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Negeri telah berkali-kali menegaskan bahawa segala usaha akan diambil untuk memastikan pemeliharaan kawasan warisan.

“Selaras dengan garis panduan warisan, projek struktur bertingkat PTMP tidak akan melibatkan kawasan Warisan Dunia UNESCO. Sebaliknya, trem aras-jalan telah dicadangkan untuk dibina di kawasan dalam bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih dikesalkan, kata beliau, surat itu telah ditandatangani oleh Dr. Lim Mah Hui yang merupakan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Pengangkutan Pulau Pinang dan Ahli Lembaga Pengarah Penang Institute.

“Sebagai orang dalam Kerajaan Negeri, Mah Hui sepatutnya mempunyai pengetahuan yang lebih dan tidak mensabotaj negeri sendiri.

“Walaupun beliau mempunyai akses kepada semua data yang ada termasuk dokumen-dokumen sulit yang berkaitan dengan PTMP, Mah Hui nampaknya lebih rela meletakkan namanya dalam kenyataan yang mengelirukan,” katanya.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera turut mempersoalkan motif NGO terbabit menghantar surat itu terus ke Paris tanpa merujuk agensi pentadbiran tempatan seperti George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) atau Jabatan Warisan Negara.

“Mengapa tidak berhubung dengan kerajaan negeri terlebih dahulu, jika memang benar status warisan George Town dalam keadaan berisiko?

“Lagipun, kerajaan negeri Pulau Pinang telah berkali-kali menunjukkan bahawa kritikan membina bukan hanya sekadar diterima, tetapi ditangani secara aktif melalui sesi dialog awam dan perbincangan meja bulat.

“Malah, kerajaan negeri juga ada melantik Adun pembangkang dan ahli-ahli Penang Forum ke dalam Majlis Pengangkutan Pulau Pinang, namunmereka menolaknya,” katanya.

Katanya lagi, Mah Hui mempunyai pelbagai saluran untuk menyatakan pendapatnya, namun sebaliknya beliau memilih untuk mengancam status Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang diperolehi sejak tahun 2008. – Roketkini.com